Categories
KENYATAAN MEDIA

BERSIH: Speaker berat sebelah, khianat amanah YDPA

Kenyataan Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia seperti dilaporkan Astro Awani, “Tiada peruntukan usul tidak percaya, kata Pandikar“ (http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiada-peruntukan-usul-tidak-percaya-kata-pandikar-72593) amat meresahkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0).

Kenyataan tersebut membawa banyak kemungkinan dan maksud tersirat, termasuklah :
a) Sistem demokrasi berparlimen dalam negara tidak mempunyai mekanisme untuk menguji keyakinan anggota Dewan terhadap ketua kerajaan,
b) Speaker tidak mempunyai budi-bicara untuk menjadi orang tengah dalam sistem semak imbang di antara pihak legislatif dan eksekutif,
c) Speaker terikat kepada arahan dan kehendak ketua kerajaan, dan
d) Speaker tidak arif tentang konvensyen yang terpakai apabila wujud lakuna dalam peruntukan Peraturan Mesyuarat.

pendekar parlimenBERSIH 2.0 melihat kesemua perkara di atas sebagai isyarat serius bahawa sistem demokrasi berparlimen Malaysia memerlukan penambahbaikan segera bagi memastikan ia berfungsi dengan cemerlang dan setanding dengan demokrasi-demokasi sihat di dunia.

Adalah tidak masuk akal bagi sesebuah institusi legislatif untuk tidak mempunyai mekanisme bagi menguji keyakinan terhadap ketua kerajaan.

Ini akan memudahkan berlakunya salahguna kuasa dan korupsi berterusan, selain membiarkan autokrasi merajalela tanpa sebarang laluan membantah yang dikanunkan.

BERSIH 2.0 menegaskan bahawa Speaker Dewan Rakyat sepatutnya memainkan peranan sebagai seorang pemudahcara, moderator dan tidak bersikap berat sebelah, terutamanya kepada pihak yang baru sahaja dua bulan sudah melantik anggota-anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam, sebuah badan di bawah Parlimen, untuk menganggotai Kabinet, sehinggakan siasatan yang sedang dijalankan oleh Jawatankuasa tersebut terhadap skandal melibatkan Perdana Menteri terjejas dan terhenti.

Adakah Speaker Dewan Rakyat secara terang-terangan mahu menunjukkan sikap berat sebelahnya, dan menyimpang daripada tanggungjawabnya terhadap anggota Dewan? Adakah Speaker sememangnya dicatur persetujuannya oleh pihak kerajaan dan Perdana Menteri?

Sekiranya persepsi ini tidak dibetulkan dan jelas kelihatan Speaker Dewan hanya bertindak sebagai pesuruh Perdana Menteri dan Kerajaan, Speaker akan dilihat sebagai mengkhianati amanah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat secara adil dan saksama dan memastikan bahawa Dewan berjalan dengan wujudnya sokongan majoriti yang jelas terhadap ketua kerajaan, dan bukan sebaliknya.

Speaker Dewan mesti mengizinkan usul tidak percaya, secara usul persendirian daripada mana-mana anggota Dewan Rakyat, untuk dimasukkan ke dalam aturan mesyuarat dan diberikan keutamaan mendahului hal-hal lain.

Usul tersebut mesti dibahaskan dalam sidang kali ini.

Kegagalan untuk berbuat demikian membuktikan bahawa Speaker Dewan tidak layak duduk di kerusi yang menjadi simbol demokrasi dan amanah rakyat jelata melalui mandat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0,

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: Misi ‘bersih negara’ lancar

Oleh: NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 31 OGOS : Perhimpunan Bersih 4.0 berjaya mencapai matlamat berhimpun secara aman dan penuh berdisplin.

Mereka turut melaksanakan janji dengan bersurai selepas menyambut kemerdekaan ke-58 iaitu genap 34 jam berhimpun, sejak jam 2.00 petang, pada 29 Ogos lalu.

IMG_8390Terdahulu, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah ketika berucap di pentas utama Bersih 4.0, di Dataran Merdeka, di sini, turut mengingatkan perkara sama.

“Kita dah cipta sejarah baru bawah nama Bersih iaitu berhimpun paling lama selama 34 jam atas misi besar rakyat ‘membersihkan negara’ dan menuntut Najib Razak undur.

“Jadi, sejarah itu perlu berakhir dengan manis dan tepati janji iaitu pulang selepas genap tempoh berhimpun,” katanya.

Perhimpunan yang berpusat di dataran itu bersurai selepas semua peserta menyanyikan lagu Negaraku dan belum ada sebarang insiden tangkapan atau provokasi berlaku di semua lokasi himpunan, setakat jam 12.50 pagi tadi.

Kelibat sukarelawan ‘Bersih 4 Corruption, Bersih 4 Rubbish’ muncul dicelah gerombolan peserta yang berpusu-pusu pulang.

Mereka berperanan besar sepanjang dua hari perhimpunan berlangsung dalam memastikan persekitaran ibu kota bersih daripada sampah.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: Letupan kecil cemari jam akhir

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Bersih 4.0 dicemari dengan satu letupan kuat berhampiran simpang Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut, dalam jam akhir perhimpunan itu.

IMG_8589Letupan dipercayai berpunca daripada mercun itu berlaku ketika aktivis Bersih 2.0, Hishamuddin Rais berucap, kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Letupan itu juga menyebabkan keadaan sedikit kecoh tetapi kembali reda beberapa minit kemudian selepas ditenangkan urusetia penganjur.

Selang beberapa minit kemudian, sebuah ambulan yang kebetulan berada di situ mula bergerak meninggalkan lokasi terbabit.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ambulan itu membawa sebarang pesakit atau mangsa letupan mercun berkenaan.

Sementara itu, The Star Online melaporkan terdapat beberapa peserta perhimpunan mengalami kecedaraan ringan akibat terkena mercun yang dilemparkan ke arah mereka.

Dua suspek yang melemparkan mercun juga dilaporkan cedera apabila ditangkap orang ramai yang berada berhampiran lokasi.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: Sedia bincang cadangan undi tak percaya Tun M

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Cadangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengadakan undi tidak percaya ke atas Datuk Seri Najib Razak di Parlimen boleh dibincangkan, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu, berkata kesepakatan semua Ahli Parlimen sangat penting bagi menyelamatkan negara daripada kerakusan Najib.

IMG_8653“Ketika Tun Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, beliau juga lakukan serangan terhadap institusi kehakiman tetapi Najib lebih teruk. Jadi, kita puji beliau sebab lawan Najib.

“Cadangan itu kita boleh bincang,” katanya di pentas utama Bersih 4.0, di Dataran Merdeka, hari ini.

Mahathit juga mempunyai rekod buruk ke atas sistem keadilan negara ketika menjadi Perdana Menteri.

Antara yang paling jelas adalah pendakwaan tanpa bukti dan asas kukuh ke atas bekas timbalannya yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: Rakyat ‘sehati sejiwa’ tolak Najib

Oleh: NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tampil di pentas utama Bersih 4.0, di Dataran Merdeka, di sini dengan mengupas sebaris lirik lagu negaraku.

Walaupun ringkas, ia membawa maksud yang cukup besar dengan tepukan gemuruh peserta perhimpunan yang bermukim di dataran itu, sejak semalam (29 Ogos).

Wan Azizah“Negaraku, Tanah tumpahnya darahku. Darah siapa ini? Darah kita, darah melayu, cina, india, asli, iban, kadazan.

“Darah ini tak sudi sama sekali ditindas pemimpin zalim,” katanya.

Mengupas tema kemerdekaan tahun ini, Wan Azizah berkata ia amat bertepatan kerana rakyat Malaysia sememangnya ‘sehati sejiwa’ menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kita sudah tunjuk pada mereka bahawa kita sehati sejiwa tuntut Najib undur, tolak korupsi, rasuah dan kekejaman.

“Kerana itu adalah nilai sebenar yang membawa maksud merdeka buat rakyat,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, beliau mengajak semua rakyat erus mengingati pengorbanan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini di penjara.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: Parti baharu pro-pakatan diumum esok

Oleh : NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Parti baharu pro-pakatan akan diumumkan secara rasmi esok, kata bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di pentas utama Bersih 4.0, di Dataran Merdeka, hari ini.

Mat Sabu White 01“Malam ini, kita akan menyambut merdeka, begitu juga saya dan rakan lain dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) kerana esok kami akan merdeka.

“Kami akan umumkan parti baru yang akan bekerjasama dengan pakatan dan semua badan bukan kerajaan terlibat, esok,” katanya.

Berbaki 30 minit sebelum ulang tahun kemerdekaan negara ke-58, Mohamad mengucap tahniah kepada semua peserta perhimpunan itu yang berjaya mencipta sejarah berhimpun secara aman dalam tempoh paling lama.

“Merdeka bukan perayaan Umno, merdeka adalah perayaan rakyat. Berjuanglah untuk merdeka dari kerajaan yang korup, tahniah atas ketabahan anda semua berhimpun,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0:  300,000 hadir ambang merdeka, catat sejarah besar negara

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Sambutan ambang kemerdekaan ke-58 dianggap paling bersejarah berikutan kejayaan mencatatkan jumlah kehadiran kira-kira 300,000 peserta, malam ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, berkata kejayaan itu adalah bukti keinginan tinggi rakyat mahu menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin korup.

IMG_8653“Tujuan kita ke sini untuk menyelamatkan Malaysia dan sebab itu Najib kena turun.

“Jika Najib turun esok, nilai ringgit juga harga saham akan naik dan kepercayaan pelabur asing kembali,” katanya di pentas utama Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Selain Kit Siang, beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat (Pakatan) turut menyampaikan ucapan masing-masing sebelum menjelang detik 12.00 malam.

Antara yang memberi ucapan adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Bersih 4.0: Jangan lupa apa Tun M pernah buat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Peserta Bersih 4.0 tidak perlu terlalu ghairah terhadap sokongan yang ditunjukkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap perhimpunan berkenaan.

Isteri bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Masitah, berkata, ia kerana Mahathir sendiri mempunyai rekod buruk dalam isu membantah hak kebebasan ketika berkuasa dahulu.

IMG_8589“Walaupun Tun Dr Mahathir menunjukkan kelibatnya di sini, tetapi jangan lupa apa yang pernah dilakukan ketika berkuasa dahulu,” katanya di pentas utama Dataran Merdeka, hari ini.

Suaminya adalah salah seorang yang ditahan kira-kira lapan bulan selepas menentang rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Perak.

Mahathir ketika berkuasa adalah perdana menteri yang paling kerap menggunakan ISA bagi memastikan kuasanya tidak terancam dan antara tindakan beliau iaitu menahan serta membuat tuduhan fitnah terhadap bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar selepas beberapa hari ditahan di Bukit Aman, tampil di mahkamah dengan mata lebam ditumbuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, bahkan Mahathir juga pernah menggerakkan ‘operasi lalang’ bagi menahan pemimpin pembangkang pada 80an.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: Cipta sejarah berhimpun 36 jam

Oleh : NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 30 OGOS : Perhimpunan Bersih 4.0 menghampiri detik kemuncak sejak berlangsung selama dua hari yang bermula jam 2 petang semalam.

IMG_8862Sebahagian besar peserta kini berpusat di hadapan hentian Masjid Jamek, di sini, mendengar ucapan pimpinan politik antaranya Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan.

Laungan keramat ‘reformasi’ dan ‘bersih’ menggemakan malam yang berbaki beberapa jam menanti detik ulang tahun ke-58 kemerdekaan negara.

Sesak dan riuh dengan pelbagai bunyian tetapi peserta masih berjaya mengekalkan displin berhimpun aman dan menjaga kebersihan persekitaran.

Dijangka semua peserta akan bersurai menjelang jam 12 malam ini, sekali gus mencipta sejarah baharu buat negara atas kejayaan berhimpun secara aman selama hampir 36 jam.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: Risiko penjara, Najib tak akan undur

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan meletak jawatannya kerana sedar berisiko tinggi dihadapkan ke mahkamah seterusnya dipenjarakan jika berbuat demikian.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga yakin Najib akan didapati bersalah ekoran beberapa skandal yang dikaitkan dengan beliau.

IMG-20150830-WA0007“Saya fikir dia tak akan turun sebab tahu jika dah tak ada kuasa mungkin akan dihadapkan ke mahkamah. Mahkamah akan dapati dia bersalah dan akan dipenjara tetapi kalau dia tak turun, langkah seterusnya adakan undi tak percaya.

“Bagi menjayakan undi tak percaya, Ahli Parlimen Umno perlu sokong perkara itu,” katanya pada sidang media di sebuah restoran di Pasar Seni, di sini, hari ini.

Ketika menyentuh isu derma RM2.6 bilion, Dr Mahathir, berkata wang derma yang diterima ketika beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dimasukkan ke sebuah akaun amanah milik parti bukan ke akaun peribadi seperti dilakukan Najib.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: Teruskan rancangan sambut Ambang Merdeka di dataran

Oleh: NAEEM RAFFI

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Bersih 4.0 akan meneruskan rancangan asal menyambut Ambang Merdeka di Dataran Merdeka walaupun pihak berkuasa menukar lokasi sambutan ke Bukit Jalil.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata pihaknya mengambil tanggungjawab memastikan himpunan rakyat dua hari itu berlangsung aman.

IMG_8390“Kami sebenarnya bersedia untuk berkongsi ruang Dataran Merdeka dengan keamanan rakyat yang penyayang.

“Kita mengulangi komitmen memastikan perhimpunan berlangsung aman dengan rakyat bersatu untuk Malaysia yang lebih baik.

“Tidak akan ada berbuka halangan dan kita juga akan bersurai sebelum detik 12 malam,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan untuk memindahkan sambutan Ambang Merdeka ke Stadium Bukit Jalil disampaikan kepada Maria oleh Ketua Polis IPD Dang Wangi, Zainol Samah petang tadi.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 4.0: “Saya sokong rakyat”

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kehadirannya pada Bersih 4.0 bukan menyokong himpunan itu tetapi menunjukkan solidariti kepada rakyat.

Mahathir berkata, beliau menyokong tindakan rakyat berhimpun di Dataran Merdeka untuk menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

IMG-20150830-WA0005“Saya sokong rakyat bukan Bersih. Bersih juga rakyat, mereka pun tak suka Najib tapi ada orang nak burukkan nama saya kononnya sokong Bersih.

“Bukan semua pakai baju kuning, ada juga yang tak pakai baju kuning. Saya hadir sebagai solidariti kepada rakyat,” katanya di sebuah restoran, di Pasar Seni, di sini, hari ini.

Memetik Malaysia Kini, Mahathir hadir dengan menaiki KTM Komuter dari Salak Selatan dan turun di stesen Kuala Lumpur kemudian berjalan ke Pasar Seni.

Kehadiran itu adalah kali kedua daripada Mahathir  yang ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tetapi tidak memakai baju kuning.

Beliau berkata, tindakan demonstrasi itu adalah pilihan terakhir rakyat untuk menjatuhkan kerajaan sambil memberikan contoh bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos yang digulingkan dengan cara sama.

IMG_20150829_164757“Jika kerajaan tak peduli undang-undang, kena guna demonstrasi. Itu pilihan terakhir. Lihat Marcos, bila rosakkan negara, maka rakyat terpaksa buang dia,” katanya.

Mahathir juga mengakui pertama kali menyertai perhimpunan seperti itu dan kehadirannya nyata menggamatkan suasana tetapi terkawal.

Sementara itu, Siti Hasmah pula menasihatkan semua pihak bersatu tanpa mengira parti politik.

“Sama seperti ketika ingin menuju kemerdekaan, bagaimana kita semua bersatu. Insya Allah.

“Tak kira Bersih, PKR atau PAS ke, kita orang Malaysia. Jika bersatu padu, kita akan capai matlamat, jadi tolonglah bila datang keadaan macam ini, tiada keganasan,” katanya.