Categories
SELANGOR

DEIG milik penuh MBI, bukan syarikat RM2

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan Berhad (DEIG) bukan syarikat RM2 dan dimiliki dua individu seperti didakwa laman sosial pro Barisan Nasional (BN).

Malah, tuduhan pemindahan aset Kerajaan Negeri berjumlah RM20 hingga RM30 bilion kepada DEIG juga tidak benar.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata segala dakwaan dibuat itu tidak menepati fakta sebenar.

“Ia bukan syarikat RM2 dimiliki dua individu dan daripada penyata diperoleh, isu pemindahan RM20 hingga RM30 bilion tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Perkara seperti ini tidak pernah berlaku membabitkan aset Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media di Dewan Annex, di sini, hari ini.

Berdasarkan kenyataan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Adun Kinrara, Ng Sze Han, berkata DEIG dimiliki sepenuhnya Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Katanya, Lembaga Pengarah DEIG terdiri daripada Dato’ Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan Ketua Pegawai Operasi MBI.

“Sememangnya jelas di sini status DEIG dengan ditadbir lima individu berkenaan.

“Maklum balas dinyatakan juga menjelaskan pindah milik aset MBI dan anak syarikatnya kepada DEIG tidak dilaksana kerana akan membabitkan kos percukaian dan duti setem tinggi,” katanya.

Kenyataan Sekretariat Akhbar Pejabat Carl’s Menteri Besar Selangor menyatakan DEIG adalah milikan penuh MBI dan mempunyai modal dibenarkan sejumlah RM10 juta.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.