Categories
KENYATAAN MEDIA

DEIG pemangkin Agenda Makmur Selangor

Oleh: RAJA SHAHREEN RAJA OTHMAN

Pada ketika ini, Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) yang pada asasnya diberi tanggungjawab untuk mengurus aset-aset kerajaan Negeri masih tidak menjana pulangan optima kepada Kerajaan Negeri kerana mempunyai fungsi bertindih dan tidak dapat memberi fokus kepada aset dan pelaburan.

Oleh itu, proses rasionalisasi dan konsolidasi peranan dan fungsi anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) perlu dilakukan untuk mencipta nilai yang mampan (sustainable value creation) terhadap aset-asetnya dan memastikan ‘diversification of income’ kepada Kerajaan Negeri selain kebergantungan kepada pendapatan berkaitan tanah seperti cukai dan premium.

Selepas penstrukturan semula ini, MBI akan memberi lebih fokus kepada soal kebajikan dan kemakmuran rakyat di Selangor menerusi program-program seperti Hijrah, Wifi Selangorku, YAWAS dan sebagainya.

Peranan MBI akan menjadi lebih jelas dan nyata untuk tujuan perancangan dan strategi.

Darul Ehsan Investment Group (DEIG) ditubuhkan sebagai sebuah entiti korporat yang akan berfungsi sebagai syarikat induk pelaburan 100 peratus milik MBI dan mempunyai objektif untuk memberi sumbangan signifikan kepada Kerajaan Negeri melalui pengurusan yang lebih mampan dan profesional serta mengikut piawaian pentadbiran korporat di peringkat tertinggi.

DEIG didaftar mengikut Akta Syarikat 1965 dan adalah milik penuh MBI. Oleh itu sebarang maklumat operasi dan kewangan diperingkat DEIG akan direkod dalam MBI melalui kaedah ‘consolidated account’ atau akaun disatukan.

Dari segi ‘oversight’, akaun DEIG akan diaudit oleh firma terkemuka ‘Big Four’ dan melapor terus kepada Jawatankuasa Audit dan Risiko. Oleh kerana didaftarkan dibawa Akta Syarikat 1965, DEIG juga dikehendaki mengemukakan akaun yang diaudit secara berkala dan terbuka kepada penelitian awam.

Selain itu ia juga boleh dinilai oleh agensi kerajaan atau Jawatankuasa Dewan Undangan Negeri Selangor yang sepatutnya.

DEIG juga mempunyai perancangan yang kukuh untuk proses pemilihan pelaburan dimana segala keputusan akan melalui beberapa ‘decision gates’ termasuk
Jawatankuasa Eksekutif dan Lembaga Pengarah yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan wakil sektor swasta. Setiap aset yang dilaburkan mesti melalui kesemua proses ini.

MBI kemudian akan membentangkan akaun yang telah disatukan termasuk segala transaksi di peringkat DEIG kepada Kerajaan Negeri dan terbuka untuk audit oleh Jabatan Audit Negara.

Pada awal penubuhan, saya dan Ketua Pegawai Operasi, Soffan Affendi Aminudin ditugaskan sebagai ‘promoter’ (penaja) syarikat untuk tujuan pendaftaran dengan modal berbayar RM2. Dan ini adalah proses biasa untuk menubuhkan sebuah syarikat.

Apabila segala proses selesai, kami menukar pemilikan DEIG kepada milik penuh MBI sepertimana yang dicatatkan dalam Sijil Pemilikan bertarikh 20 Julai 2015. Proses catitan rekod penukaran milik di peringkat Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah kami lakukan dan kami masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka.

Hakikatnya di peringkat DEIG sebarang hal ehwal kewangan tidak akan dilaksanakan selagi mana sistem tadbir urus korporat dan ketelusan tidak dipasakkan ke dalam entiti ini.

Atas prinsip-prinsip tersebut, pada bulan Jun lalu, MBI telah menjalankan proses Pelawaan Memberi Maklumat atau Request For Information (RFI).

Ini adalah langkah perancangan strategik untuk membuat ‘market survey’ bagi mengumpul maklumat sebelum tender dikeluarkan.

Ini juga merupakan bukti ketelusan dan kebijaksanaan kerajaan Negeri dalam menguruskan aset untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

Aset-aset yang terlibat adalah aset milik MBI bukannya DEIG. DEIG hanya akan terlibat apabila ia beroperasi sepenuhnya pada suku tahun pertama 2016.

Insiatif ini memerlukan sokongan dan kefahaman daripada semua ‘stakeholder’ di dalam Kerajaan Negeri dan pihak pengurusan juga harus menetapkan satu sistem tadbir urus korporat yang terbaik.

Cabaran dan keadaan ekonomi global yang tidak stabil memerlukan satu langkah drastik dalam memastikan Kerajaan Negeri berupaya menjana pendapatan secara mampan pada masa hadapan, demi kemakmuran rakyat Selangor.

# Raja Shahreen Raja Othman adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI)

Leave a Reply

Your email address will not be published.