Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia landasan atasi hamil bawah umur

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kes kelahiran remaja bawah umur antara fenomena modenisasi dan kejutan budaya yang kini dilihat semakin hangat melanda golongan remaja dan belia.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata antara punca utama adalah kerana remaja sering didedahkan dengan penggunaan gajet yang cenderung kepada laman sosial.

“Kehamilan yang berlaku pada remaja perempuan yang dilaporkan adalah berusia antara 10 hingga 19 tahun.

pc dr daroyah 2“Selain itu, mereka juga terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah dan pergaulan bebas yang semakin meruncing,” katanya kepada Selangor Kini.

Daroyah berkata, Kerajaan Negeri memandang serius isu itu kerana mereka adalah generasi muda yang seharusnya dididik untuk pembangunan negara pada masa akan datang.

“Pendidikan agama dan moral perlu diterap dan ditekankan dalam mata pelajaran di sekolah.

“Selain itu, tidak seharusnya ibu bapa melepaskan tanggungjawab kepada guru, tetapi perlu memantau aktiviti anak seperti dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka keluar dan kurangkan galakan penggunaan gajet,” katanya

Daroyah berkata, Kerajaan Negeri sedang merancang dan merangka satu program untuk mendidik remaja, di samping mengisi masa lapang mereka dengan perkara lebih berfaedah.

“Mereka akan didedahkan untuk berfikiran rasional dalam setiap tingkah laku yang membawa kepada masalah dan akan mempengaruhi masa depan mereka.

“Melalui program itu, kita dalam usaha membendung gelaja sosial dari terus berleluasa,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.