Categories
SELANGOR

Lebih 53,000 sudah guna Bas Selangorku

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 OGOS: Lebih 53,000 penumpang sudah menggunakan perkhidmatan Bas Percuma, Bas Selangorku di tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat sejak dilancarkan pada 1 Julai lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata rekod itu membuktikan perkhidmatan Bas Selangorku mendapat sambutan dan sokongan hebat daripada rakyat.

bas selangorku“Atas kejayaan itu, Kerajaan Selangor berhasrat memperluas perkhidmatan perkhidmatan Bas Selangorku PBT lain menerusi fasa kedua.

“Setakat ini ia bakal diperluas ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Majlis Perbadaran Ampang Jaya (MPAJ) selain beberapa kawasan luar bandar secara berperingakat menjelang 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Logo Bas Selangorku yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali di Dewan Annex, di sini hari ini.

Bas Selangorku dilaksanakan berikutan Kerajaan Negeri cakna kepada keperluan rakyat selaras dengan dasar pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Bas Selangorku mensasarkan golongan berpendapatan sederhana rendah meliputi warga industri, pelajar, kakitangan kerajaan dan mereka memerlukan perkhidmatan bas sebagai keperluan harian.

Perkhidmatan Bas Selangorku fasa pertama mula beroperasi sejak 1 Julai lalu membabitkan kos sejumlah RM3.48 juta.

Daripada jumlah itu, pelaksanaan Bas Selangorku di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Subang jaya (MPSJ) membabitkan kos sejumlah RM2.4 juta dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) RM949,000 dengan masing-masing disediakan empat bas sementara MPK dengan tiga bas.

“Sejak dilancarkan sehingga 31 julai lalu, Bas Selangorku di tiga PBT terlibat mendapat sambutan hebat dengan 53,229 penumpang dicatatkan.

“Daripada jumlah itu, MBSA mencatatkan 26,709 penumpang dengan purata 862 sehari, MPSJ 19,699 penumpang dengan purata 635 sehari dan MPK 6,871 penumpang dengan purata 220 sehari.

“Dengan mengambil kira Julai sebagai hari raya (Aidilfitri) dengan tujuh hari di ketiga kawasan itu kurang penumpang bermaksud angka ini adalah memberangsangkan,” katanya.

Pengenalan Bas Selangorku juga bertujuan membantu menyelesaikan masalah trafik khususnya dalam kawasan pusat bandar.

Perkhidmatan yang beroperasi bermula 6 pagi hingga 10 malam itu mampu memuatkan sehingga 60 penumpang, mesra OKU dan dilengkapi kemudahan wifi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.