Categories
SELANGOR

DEIG disaran punyai ketelusan & akauntabiliti

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 OGOS: Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) di bawah akta syarikat menyebabkan Dewan Negeri Selangor (DNS) tidak mengetahui perkembangan pelaburan entiti berkenaan.

Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Panjang), berkata Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sepatutnya distrukturkan sekiranya berlaku masalah dan bukannya menubuhkan DEIG.

“Kenapa tidak distrukturkan di bawah MBI hingga terpaksa menubuhkan satu entiti didaftarkan sebagai akta syarikat untuk menguruskan pelaburan? Itu menimbulkan kebimbangan kita.

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (ASRI)“Apabila ditubuhkan dibawah syarikat, ia tidak perlu diaudit oleh Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai tanggungjawab untuk dilaporkan di Dewan Negeri Selangor,” katanya dalam sidang media di Lobi Bangunan Annex.

Katanya, sebagai sebuah syarikat, DEIG memerlukan keseimbangan tatakelola memandangkan ia boleh membuat pinjaman sama seperti syarikat lain.

Menyentuh soal contoh diberikan Tan Sri Abdul Khalid (BEBAS-Pelabuhan Klang) mengenai nasib DEIG yang mungkin menjadi seperti syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beliau berkata itu hanya pandangan peribadi beliau.

“Itu contoh Tan Sri Abdul Khalid, Kena minta pandangan dia. Jika awak tanya saya mengenai kebimbangan, saya tidak bimbang kerana ia berbeza (DEIG dengan 1MDB),” katanya.

Pada masa sama, Datuk Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berkata, apa yang penting dalam entiti baru perlu ada akauntibiliti dan mesti terus kepada Kerajaan Negeri.

Selain itu katanya, penubuhan DEIG perlu dibincangkan di peringkat DNS.

“Dicadangkan diwujudkan enakmen mengikat dan mengawal DEIG di bawah peruntukan lebih akauntibiliti kerana ia melibatkan pelaburan Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.