Oleh : NAEEM RAFFI
KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali melalui laman twitter miliknya mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau bukan sahaja ditolak rakyat tetapi Tun Dr Mahathir Mohamed turut tidak menyokongnya.
Keratan ringkas berbunyi ‘Mahathir want ‘bangsat’ Najib to leave’ mula dipaparkan Mohamed Azmin sebentar tadi.
Sebelum ini, Najib dalam satu kenyataan berkata Melayu akan bangsat jika berhenti berserah dan berpaut kepada Umno.
Terdahulu, Tun Mahathir bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali turun ke Dataran Merdeka, pada jam 7.20 malam tadi.
Kehadirannya dilihat sebagai tanda sokongan buat rakyat yang berhasrat besar menuntut Najib berundur dan selamatkan Malaysia.
Dalam twitter Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR turut mengembeleng sokongan anak muda untuk bersama bangkit menentang penindasan.
“Atas semangat kemerdekaan, anak muda tidak boleh merelakan penindasan dan eksploitasi yang dilakukan penjajah berpindah kepada pribumi.
“Anak muda yang punya idealisme tidak akan merelakan penindasan manusia oleh manusia. Mahasiswa sebagai suara zaman yang perlu berperanan membawa perubahan buat negara,” katanya.
-NFN-