Categories
SELANGOR

PAMPS mula operasi, bantu tingkat sumber air Lembangan Langat

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 26 OGOS: Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) sebanyak 500 juta liter sehari (JLH) dari Sungai Semantan, Pahang ke Sungai Langat berjaya dilaksanakan buat pertama kalinya, pada 24 Ogos lalu.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata pelaksanaannya bertujuan meningkatkan kebolehdapatan sumber air di Lembangan Langat.

“Pada 24 Ogos lalu (jam 10.16 malam), PAMPS buat pertama kalinya beroperasi apabila kapasiti Empangan Sungai Langat menurun sehingga 44.24 peratus.

Zaidy“Sebanyak 300 JLH air dipam masuk ke dalam Sungai Langat melalui terowong ‘outfall’ pada jam 8.30 pagi, semalam,” katanya dalam kenyataan kepada Selangor Kini.

PAMPS adalah projek yang merangkumi pemindahan air mentah dengan kapasiti 1,890 JLH dari Sungai Semantan, Pahang melalui terowong sepanjang 44 kilometer terus ke Loji Pembersihan Air (LPA) Langat 2.

Bagaimanapun, pembinaan LPA Langat 2 dijangkakan siap sepenuhnya, pada 2019.

Caj RM50,000 (RM0.10 bagi setiap meter padu) yang disalurkan akan dibayar Kerajaan Selangor kepada Pahang seperti perjanjian yang ditandatangani sebelum ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menyelaras penyaluran air mentah itu di Selangor dan pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA) Pahang.

empangan-selangor-sept-3Manakala, operasi pengepaman akan dilaksanakan kontraktor yang dilantik Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Zaidy berkata, penyaluran awal air mentah itu adalah satu langkah mitigasi bertujuan mengurangkan pelepasan air dari Empangan Sungai Langat yang kini berada pada kapasiti 45.07 peratus.

“Dengan penyaluran itu, pelepasan dari Empangan Langat dan pengepaman dari Empangan Semenyih dihentikan.

“Ia juga langkah menangani gangguan bekalan air disebabkan henti tugas LPA utama di Sungai Langat iaitu LPA Cheras, Batu 11 dan LPA Bukit Tampoi ketika musim kering oleh kerana kurangnya kadar pencairan juga peningkatan parameter ammonia di dalam sungai,” katanya.

Selangor Kini difahamkan, PAMPS juga berperanan menangani isu penurunan paras air Sungai Langat yang memberi kesan kepada LPA iaitu pengepaman tidak dapat dijalankan disebabkan paras air sungai yang rendah.

Penyaluran awal air mentah dari Pahang dipercayai membantu menangani isu itu sementara kemudahan LPA Langat 2 siap sepenuhnya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.