Categories
SELANGOR

PJ Half Marathon tawar hadiah keseluruhan RM31,000

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 4 OGOS: Acara larian terulung di Petaling Jaya, PJ Half Marathon kembali lagi untuk edisi 27 pada 6 September depan.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu larian 21 Kilometer (KM) terbuka, 10 KM, 7 KM (pelajar sekolah) dan 3 KM (Fun Run) bermula 6 pagi.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mohd Azizi Mohd Zain berkata buat pertama kalinya, pihak penganjur memilih Laman MBPJ Seksyen 53, sebagai lokasi baru penganjuran.

logo-pj-half-marathon-2015-2Katanya, pemilihan lokasi ini bersesuaian dengan hasrat MBPJ untuk membuka dimensi baru bagi edisi tahun ini.

“Seramai 5,000 peserta dijangka mengambil bahagian dalam edisi tahun ini atas faktor laluan serta lokasi baru.

“Tema marathon ini masih sama iaitu ‘Run Because You Can’. Kebanyakkan peserta terdiri penduduk Petaling Jaya dan sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media, di sini.

Hadir sama Bendahari Persatuan Olahraga, S. Kumarusamy.

Azizi berkata setakat ini seramai 4,200 permohonan sudah diterima dan turut disertai oleh penyertaan luar negara.

Antara jalan utama yang terbabit Jalan Gasing, Jalan Klang Lama, Jalan Templer, Jalan Universiti dan Jalan Sultan.

“Seramai 90 anggota polis trafik dan 50 pegawai penguatkuasa MBPJ akan ditugaskan bagi mengawal lalu lintas bagi menjamin kelancaran serta keselamatan peserta atau orang awam,” katanya.

Beliau turut menyarankan peserta untuk meletakkan kenderaan di sekitar tempat letak kereta yang terdapat berhampiran PJ State.

“Diharap peserta tidak meletak kenderaan di bahu jalan. Ia supaya tidak menganggu lalu lintas pada hari acara berlangsung,” katanya.

Katanya, hadiah keseluruhan RM31,000 menanti pemenang.

Penganjuran PJ Half Marathon ini adalah hasil kerjasama bersama antara Persatuan Olahraga Para Selangor (POPS) dan Puncak Venture SRA Sdn Bhd.

Turut serta menjayakan acara ini minuman isotonik 100Plus serta air mineral Ice Mountain dari F&N Beverages Marketing Sdn Bhd.

Juga jenama pakaian Ultron, pengedar jam Solues, krim Voltex serta medal sumbangan Nexus Medalion.

Pendaftaran masih dibuka kepada orang ramai sehingga 15 Ogos, boleh layari www.myraceonline.com

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.