Categories
BERITA UTAMA

Sekolah aliran agama persepsi dulu bukan sekarang

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

DILEMA antara masuk sekolah menengah aliran agama atau ‘biasa’? Itu yang dihadapi selepas tamat UPSR, mahu masuk Sekolah Menengah Agama atau Sekolah Menengah Kebangsaan.

Apakah pelajar aliran agama punyai masa hadapan cerah? Mahu jadi apa, apakah hanya jadi guru agama dan penceramah?

Itu persoalan dan persepsi masyarakat era 1980-an dan awal 1990-an. Memasuki aliran agama bagaikan ‘kiamat’ untuk kerjaya seperti peguam, doktor, jurutera dan saintis. Jangan mimpi jika mahu jadi angkasawan, jutawan dan usahawan.

Jika dahulu, sekolah aliran agama sering digambarkan sebagai pendidikan kelas kedua atau ketiga. Namun, hakikatnya kini ibu bapa menjadikan aliran itu pilihan paling utama untuk memastikan anak mereka mempunyai kekuatan ilmu agama dan kontemporari.

Tidak hairan jika jumlah permintaan untuk sekolah aliran agama mengatasi penawaran dengan jurang yang tinggi serta kelulusan bagi memasukinya ketat dengan keputusan peperiksaan cemerlang.

Gelombang peningkatan tinggi ini ekoran kesedaran memuncak ibu bapa mahu memastikan anak mereka mampu berhadapan cabaran ganas keruntuhan akhlak serta harapan tinggi untuk melihat generasi beragama mempunyai kekuatan jati diri.

tahfiz MITS sumbangan adi fathiEkoran permintaan tinggi terhadap pendidikan agama, kini Kelas Aliran Agama (KAA) di sekolah harian biasa diwujudkan dengan perkhidmatan pendidikan yang sama ditawarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Namun, diharapkan mereka tidak menjadi generasi yang dipaksa mengikuti aliran agama tetapi kemahuan memilih aliran itu atas kesedaran dan inspirasi mahu membuat perubahan masyarakat yang cemerlang dan celik agama.

Kita tidak mahu melihat aliran sekolah agama menjadi ‘tempat buangan’ oleh ibu bapa yang sudah tidak dapat melihat dan membentuk masa depan anak mereka akibat salah laku serta kebejatan moral.

Apa yang diharapkan adalah pelajar aliran agama dipilih dalam kalangan mereka yang cemerlang bukan sahaja akademik, bahkan sahsiah serta ko-kurikulumnya.

Ketika cabaran dihadapi agama semakin memuncak dengan pelbagai serangan bertali arus, keupayaan orang agama memainkan peranan dan mencorak masyarakat perlu diberi perhatian.

Kekuatan disiplin ilmu pelajar aliran agama perlu mampu diterjemahkan dalam praktikal masyarakat yang dahagakan pembaharuan dan kehiduapan beragama.

Apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama, dirinya harus membuat persediaan sesuai dengan cabaran yang bakal menanti.

murid tahfiz 25 julai 01Pelajar yang cemerlang ketika di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza.

Islam melihat pendidikan adalah skop luas merangkumi dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, pemikir agung, Ibnu Khaldun membahagikan ilmu kepada dua bahagian utama.

Pertama, berbentuk fardhu ain yang dituntut supaya mengetahui dan mempelajarinya dalam melaksanakan tuntutan agama seperti ilmu tauhid, fiqh, akhlak dan akidah.

Ilmu kedua pula fardhu kifayah yang mesti ada pada sekumpulan orang dalam masyarakat tanpa melihat kepada individu tertentu seperti pertukangan, kemahiran, perniagaan, kedoktoran, ekonomi, fizik dan astronomi asalkan bermanfaat.

Ini membuktikan Islam tidak mementingkan pencapaian intelektual tinggi sahaja, bahkan perlu dilengkapi dengan kefahaman jelas berkenaan bagi menghasilkan insan cemerlang di dunia dan akhirat.

Adalah dicadangkan supaya sekolah aliran agama membuat anjakan paradigma dengan membuka peluang pada kadar peratusan tertentu untuk pelajar bukan Islam berpeluang memasukinya.

nasyid mahad tahfiz 03Ia diharap dapat mencetuskan suasana harmonis serta budaya hormat-menghormati dan memahami kepelbagaian fahaman agama di negara ini yang mempunyai masyarakat berbilang kaum juga agama.

Melalui pendekatan ini, diharap menjadi pelajaran amali pelajar muslim berinteraksi dengan bukan Islam secara harmoni dan toleransi yang membolehkan pelajar lulusan agama mempunyai keyakinan tinggi berhadapan kerencaman pandangan serta menguasai dunia realiti.

Pembangunan infrastruktur sekolah aliran agama juga patut diberi perhatian oleh kerajaan dengan menyediakan suasana pembelajaran kondusif serta alat pembelajaran terkini untuk memastikan pelajar menguasai teknologi terkini.

Penganjuran Ihtifal Ilmi Sekolah-sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan Kali Kedua dengan Selangor menjadi tuan rumah adalah landasan tepat untuk melahirkan pelajar berkebolehan dan mempunyai keyakinan dan integriti.

Selangor juga buat julung kalinya menjadi tuan rumah menyediakan lima lokasi bagi sembilan kategori dipertandingkan iaitu tilawah dan hafazan al-Quran, syarahan Bahasa Melayu dan Inggeris, perbahasan ala Parlimen, nasyid, seni khat serta kuiz.

Penganjuran acara itu turut mendapat pujian Exco Agama, Datuk Ahmad Yunus Hairi berikutan komitmen berterusan menjadikan sekolah aliran agama mendapat tempat dan menjadi pilihan dalam kalangan pelajar rendah untuk meneruskan pengajian menengah.

“Modal insan sebegini menjadi aset berharga sebagai generasi pelapis yang meneruskan pembangunan negara,” katanya.

Melalui pentas pertandingan ini, diharap ia mengasah bakat dan keyakinan pelajar aliran agama untuk mendepani arus perdana serta mencorakkan masa depan dunia.

Mana tau perdana menteri, menteri besar, saintis, jurutera dan peguam hebat di masa hadapan lahir dari sekolah aliran agama.

* Mohd Ezli Mashut adalah Penolong Editor Selangor Kini

Leave a Reply

Your email address will not be published.