Categories
BERITA UTAMA

Sekolah aliran agama persepsi dulu bukan sekarang

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

DILEMA antara masuk sekolah menengah aliran agama atau ‘biasa’? Itu yang dihadapi selepas tamat UPSR, mahu masuk Sekolah Menengah Agama atau Sekolah Menengah Kebangsaan.

Apakah pelajar aliran agama punyai masa hadapan cerah? Mahu jadi apa, apakah hanya jadi guru agama dan penceramah?

Itu persoalan dan persepsi masyarakat era 1980-an dan awal 1990-an. Memasuki aliran agama bagaikan ‘kiamat’ untuk kerjaya seperti peguam, doktor, jurutera dan saintis. Jangan mimpi jika mahu jadi angkasawan, jutawan dan usahawan.

Jika dahulu, sekolah aliran agama sering digambarkan sebagai pendidikan kelas kedua atau ketiga. Namun, hakikatnya kini ibu bapa menjadikan aliran itu pilihan paling utama untuk memastikan anak mereka mempunyai kekuatan ilmu agama dan kontemporari.

Tidak hairan jika jumlah permintaan untuk sekolah aliran agama mengatasi penawaran dengan jurang yang tinggi serta kelulusan bagi memasukinya ketat dengan keputusan peperiksaan cemerlang.

Gelombang peningkatan tinggi ini ekoran kesedaran memuncak ibu bapa mahu memastikan anak mereka mampu berhadapan cabaran ganas keruntuhan akhlak serta harapan tinggi untuk melihat generasi beragama mempunyai kekuatan jati diri.

tahfiz MITS sumbangan adi fathiEkoran permintaan tinggi terhadap pendidikan agama, kini Kelas Aliran Agama (KAA) di sekolah harian biasa diwujudkan dengan perkhidmatan pendidikan yang sama ditawarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Namun, diharapkan mereka tidak menjadi generasi yang dipaksa mengikuti aliran agama tetapi kemahuan memilih aliran itu atas kesedaran dan inspirasi mahu membuat perubahan masyarakat yang cemerlang dan celik agama.

Kita tidak mahu melihat aliran sekolah agama menjadi ‘tempat buangan’ oleh ibu bapa yang sudah tidak dapat melihat dan membentuk masa depan anak mereka akibat salah laku serta kebejatan moral.

Apa yang diharapkan adalah pelajar aliran agama dipilih dalam kalangan mereka yang cemerlang bukan sahaja akademik, bahkan sahsiah serta ko-kurikulumnya.

Ketika cabaran dihadapi agama semakin memuncak dengan pelbagai serangan bertali arus, keupayaan orang agama memainkan peranan dan mencorak masyarakat perlu diberi perhatian.

Kekuatan disiplin ilmu pelajar aliran agama perlu mampu diterjemahkan dalam praktikal masyarakat yang dahagakan pembaharuan dan kehiduapan beragama.

Apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama, dirinya harus membuat persediaan sesuai dengan cabaran yang bakal menanti.

murid tahfiz 25 julai 01Pelajar yang cemerlang ketika di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza.

Islam melihat pendidikan adalah skop luas merangkumi dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, pemikir agung, Ibnu Khaldun membahagikan ilmu kepada dua bahagian utama.

Pertama, berbentuk fardhu ain yang dituntut supaya mengetahui dan mempelajarinya dalam melaksanakan tuntutan agama seperti ilmu tauhid, fiqh, akhlak dan akidah.

Ilmu kedua pula fardhu kifayah yang mesti ada pada sekumpulan orang dalam masyarakat tanpa melihat kepada individu tertentu seperti pertukangan, kemahiran, perniagaan, kedoktoran, ekonomi, fizik dan astronomi asalkan bermanfaat.

Ini membuktikan Islam tidak mementingkan pencapaian intelektual tinggi sahaja, bahkan perlu dilengkapi dengan kefahaman jelas berkenaan bagi menghasilkan insan cemerlang di dunia dan akhirat.

Adalah dicadangkan supaya sekolah aliran agama membuat anjakan paradigma dengan membuka peluang pada kadar peratusan tertentu untuk pelajar bukan Islam berpeluang memasukinya.

nasyid mahad tahfiz 03Ia diharap dapat mencetuskan suasana harmonis serta budaya hormat-menghormati dan memahami kepelbagaian fahaman agama di negara ini yang mempunyai masyarakat berbilang kaum juga agama.

Melalui pendekatan ini, diharap menjadi pelajaran amali pelajar muslim berinteraksi dengan bukan Islam secara harmoni dan toleransi yang membolehkan pelajar lulusan agama mempunyai keyakinan tinggi berhadapan kerencaman pandangan serta menguasai dunia realiti.

Pembangunan infrastruktur sekolah aliran agama juga patut diberi perhatian oleh kerajaan dengan menyediakan suasana pembelajaran kondusif serta alat pembelajaran terkini untuk memastikan pelajar menguasai teknologi terkini.

Penganjuran Ihtifal Ilmi Sekolah-sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan Kali Kedua dengan Selangor menjadi tuan rumah adalah landasan tepat untuk melahirkan pelajar berkebolehan dan mempunyai keyakinan dan integriti.

Selangor juga buat julung kalinya menjadi tuan rumah menyediakan lima lokasi bagi sembilan kategori dipertandingkan iaitu tilawah dan hafazan al-Quran, syarahan Bahasa Melayu dan Inggeris, perbahasan ala Parlimen, nasyid, seni khat serta kuiz.

Penganjuran acara itu turut mendapat pujian Exco Agama, Datuk Ahmad Yunus Hairi berikutan komitmen berterusan menjadikan sekolah aliran agama mendapat tempat dan menjadi pilihan dalam kalangan pelajar rendah untuk meneruskan pengajian menengah.

“Modal insan sebegini menjadi aset berharga sebagai generasi pelapis yang meneruskan pembangunan negara,” katanya.

Melalui pentas pertandingan ini, diharap ia mengasah bakat dan keyakinan pelajar aliran agama untuk mendepani arus perdana serta mencorakkan masa depan dunia.

Mana tau perdana menteri, menteri besar, saintis, jurutera dan peguam hebat di masa hadapan lahir dari sekolah aliran agama.

* Mohd Ezli Mashut adalah Penolong Editor Selangor Kini

Categories
AGAMA SELANGOR

Dr Muhammad Nur Manuty: Bertoleransi tapi berprinsip

Oleh:  NURUL FARINA NAZLAN

SELAIN kaum, isu agama juga dianggap sensitif dalam kalangan masyarakat, apatah lagi ia mudah dimanipulasi pihak berkepentingan.

Lantaran itu, isu berkaitan agama mudah menjadi polemik berpanjangan dan menjejaskan perpaduan masyarakat majmuk baik di Selangor mahupun di negara ini.

Sebaliknya, penyelesaian pantas itu pemulangan Bible membuka mata banyak pihak betapa ada jalan tengah apabila berlaku perselisihan.

deepavaliKebijakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan Istana Selangor menjadi penanda aras ke arah toleransi agama tanpa merendah-rendahkan Islam sebagai agama rasmi.

“Satu ‘breakthrough’ berjaya dilakukan Dato’ Menteri Besar dalam isu kritikal agama yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat majmuk di Selangor.

“Dua pihak (Islam dan bukan Islam) kalau faham toleransi, ia membawa kepada pencapaian baik,” kata bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau mendapati pentadbiran Mohamed Azmin menyediakan landasan sebagai teladan kepada penganut semua agama supaya konflik itu tidak berpanjangan.

MB AzminGaya kepimpinan itu mampu menjadi contoh pemimpin lain di bagi memupuk dasar hormat-menghormati antara masyarakat Islam dan bukan Islam tanpa mengira fahaman politik.

Penyelesaian itu selari dengan ajaran Islam, bahkan inisiatif itu memberi manfaat besar dan implikasi positif kepada masyarakat majmuk di Selangor.

“Ia pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw apabila kitab Injil diambil oleh seorang Islam. Baginda kemudian memintanya memulangkan kembali kitab berkenaan kepada kaun Nasrani.

“Mohamed Azmin juga memperlihat dasar Pakatan Rakyat yang menjamin kebebasan beragama seperti dalam Perlembagaan,” kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIP-PA) PKR itu.

IMG_0562aBeliau pantas menyatakan Selangor mampu menjadi negeri model masyarakat majmuk, sosial dan agama melalui pendekatan bertoleransi tetapi berprinsip.

Lebih-lebih lagi, penyelesaian itu mendapat reaksi positif pelbagai pihak, bermakna secara tidak langsung memperlihat sokongan dan dokongan terhadap Mohamed Azmin.

Malah, ramai gembira apabila Dato’ Menteri Besar itu berulang kali memberi penegasan sentimen fanatik dan pelampau tidak ada tempat di Selangor.

“Saya tegaskan, sentimen itu tidak akan memiliki tempat dalam pentadbiran Selangor kerana kami mengamal prinsip keadilan dan kesederhanaan setiap masa,” katanya.

Categories
AGAMA

‘Bin Abdullah’ punca ramai batal hasrat peluk Islam

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEKALIPUN mengucapkan kalimah syahadah sejak 17 tahun lalu, Tokoh Saudara Kita peringkat negeri Selangor , Lim Jooi Soon berusia 44 tahun tidak menukar namanya sebagaimana budaya di Malaysia.

Biarpun ramai tertanya-tanya mengapa tidak ‘berbin Abdullah’, beliau sebenarnya mahu merubah tanggapan masyarakat bahawa bertukar agama tidak semestinya menukar nama.

Apatah lagi, amalan menukar nama bapa kepada ‘bin Abdullah’ tidak diamal pada zaman Nabi Muhammad s.a.w tetapi ia begitu membudayai masyarakat mualaf di negara ini.

LIM JOOI SOON -TOKOH SAUDARA KITAJooi Soon menyatakan Rasulullah hanya menasihati mereka yang memeluk Islam menukar nama asal kepada nama yang membawa maksud baik.

Dan, nama yang mempunyai makna baik bukan semestinya dalam bahasa Arab.

Apatah lagi, mengekalkan nama penuh dalam bahasa ibunda perkara penting di kalangan masyarakat Cina kerana setiap perkataan membawa pengertian tertentu.

“Saya kekalkan nama asal kerana maksud di sebalik nama itu membawa pengertian yang indah dan terpuji dalam masyarakat dan budaya Cina, malah tidak melanggar syariat.

“Lim adalah nama keluarga, Jooi nama keturunan dan Soon nama diri saya. Bayangkan apabila ada sebahagian masyarakat Cina yang mahu peluk Islam terpaksa membuang nama keturunan.

“Ia seolah-olah memutuskan pertalian dari nasab keturunan,” katanya kepada Selangor Kini.

Hakikatnya, Jooi Soon berkata, ramai masyarakat Cina membatal hasrat memeluk Islam kerana bimbang nama keturunan ‘terpaksa’ dibuang atau diganti.

Tanpa menukar nama, beliau percaya tanggapan masyarakat bukan Islam betapa memeluk Islam itu bermakna ‘masuk Melayu’ dapat dihakis, sekaligus menunjukkan Islam agama syumul dan universal.

11Jooi Soon dianugerah Tokoh Saudara Kita 1435H/2013M yang disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Anugerah itu bersempena sambutan Maal Hijrah peringkat Selangor pada 5 November lalu.

Ia disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni ALmarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Masjid Negeri Shah Alam.

Menyingkap kembali peristiwa 17 tahun lalu, perasaan syukur, lega dan tenang dirasai Jooi Soon setelah mengucap kalimah syahadah.

Tiada siapa menduga beliau dikurnia hidayah Islam sekalipun sejak kecil, beliau menganut kepercayaan Buddhisme, Taoisme, Confusianisme dan beralih kepada Kristian pada awal usia 14 tahun.

Bagaimanapun, perasaan sedih dan risau tetap menyelubungi dirinya kerana keluarga dan sahabat terdekat masih tidak memeluk Islam.

Bagi mendalami agama, beliau kemudian menuntut di Islamic Education Trust Nigeria selama 12 tahun dan Australia selama empat tahun dalam ‘Bible Student‘.

Lantaran minat terhadap dakwah mendorong Jooi Soon berkhidmat sebagai pendakwah bebas dan mengadakan banyak ceramah baik dalam mahupun luar negara.

19Beliau kini bertugas sebagai Pegawai Dakwah Persatuan Cina Islam Malaysia (MACMA) Cawangan Selangor.

Malah, turut terlibat menganjurkan kursus ‘Training The Trainer‘ anjuran Nuruddin Lemu dan Aisyah Rodrigo daripada Islamic Education Trust Nigeria.

Beliau juga penganjur kepada Kursus Interactive Dakwah Training, khusus untuk anak-anak muda dan golongan profesional.

Selain kerap terlibat sebagai ahli panel forum perbandingan agama dan kauseling keluarga, Jooi Soon juga aktif sebagai pelatih kader-kader dakwah kepada mualaf dan menguruskan kes murtad.

– FZL