Categories
SELANGOR

Selangor kaji biaya deposit 10% pembelian rumah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 OGOS: Satu kajian dijalankan sebuah jawatankuasa di bawah Exco Perumahan bagi membantu bakal pembeli rumah di Selangor yang berhadapan masalah menyediakan 10 peratus wang pendahuluan.

Exco Perumahan, Iskandar Abdul Samad (PAS-Chempaka), berkata kajian itu dijalankan berdasar model skim ‘My First Home’ yang dijalankan di New Zealand.

perumahan selangor“Skim kedua yang sedang dibincangkan di bawah portfolio saya sekarang, mereka yang nak beli rumah tetapi tidak ada deposit 10 peratus boleh datang kepada Kerajaan Negeri dan kita akan beri wang itu untuk dibayar kepada pemaju.

“Mereka tak perlu bayar dan memang diakui ada orang yang susah nak sediakan deposit. Rumah ini akan dimiliki bersama Kerajaan Negeri dan pembeli,” katanya ketika menggulung perbahasan usul di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pembasmian Kemiskinan (JPK-Pembasmian Kemiskinan).

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini melancarkan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) selain skim yang masih di peringkat kajian itu.

Katanya, Dana-Sel berfungsi dengan Kerajaan Negeri membeli rumah sebelum disewakan kepada penduduk Selangor yang kurang berkemampuan.

Rumah yang disewa kemudian boleh dibeli penghuni berkenaan apabila pendapatan sudah mencapai satu tahap yang difikirkan berkemampuan.

“Apabila penyewa merasakan sudah mampu, pada bila-bila masa boleh datang jumpa Kerajaan Negeri untuk membeli rumah itu dan bayaran sewa yang mereka dah bayar juga sebahagiannya akan ditolak,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.