Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 20 OGOS: Usaha memartabat taraf hidup rakyat daripada segi pembangunan ekonomi dan sosial diharap terus menjadi fokus Kerajaan negeri dalam Belanjawan 2016.
Usahawan, Shahrulnizam Shaharani, 31, menggesa golongan berpendapatan rendah diberi inisiatif bagi mendapatkan rumah kediaman yang disifatkan paling penting untuk setiap rakyat.
Katanya, Kerajaan Selangor perlu ‘campur tangan’ ekoran syarat Bank Negara yang ketat bagi mendapatkan pinjaman dan nilai rumah yang semakin tidak masuk akal.
“Mungkin dengan jumlah rizab yang tinggi, sejumlah peruntukan boleh disalurkan bagi memberi kemudahan pinjaman kepada mereka yang layak.
“Saya pasti Kerajaan Selangor dapat memikirkan mekanisme terbaik dalam melaksanakan bantuan bagi membolehkan rakyat mendapatkan perumahan selain pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik yang diusahakan sebelum ini,” katanya kepada Selangor Kini.
Sementara itu, Eksekutif Teknologi Maklumat, Muhammad Rayyan Mohamad Rasid, 26, pula berharap bantuan perniagaan dapat disalurkan kepada golongan belia yang menceburi bidang itu.
“Dengan kos hidup semakin tinggi, rasanya galakan kepada bidang perniagaan perlu diperluas dan dipromosikan lagi.
“Pada masa sama, diharap Kerajaan Selangor dapat memikirkan kaedah mengawal peniaga asing yang semakin banyak mengganggu hak rakyat tempatan.” katanya merujuk kepada situasi peniaga asing tanpa izin sekitar Sungai Buloh.
Pekerja kilang, Fuad Hendra Abu Bakar, 29, berharap segala perancangan belanjawan dilaksanakan secara telus tanpa menipu rakyat dengan janji bulan dan bintang.
“Perbanyakkan lagi program bantuan kebajikan termasuk sara diri pada golongan kurang bernasib baik, kelainan upaya termasuk ibu tunggal.
“Jangan ada usaha seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Selangor kerana kita tak mahu rakyat terus tertindas kerana kepentingan peribadi pihak tertentu.
“Kerajaan Selangor sejak 2008 menjadi harapan dan contoh kepada rakyat, bukan sahaja di negeri ini tetapi seluruh Malaysia. Jangan musnahkan itu,” katanya.
-NFN-