Categories
SELANGOR

Tauhu sumbat gamit kenangan bersama DJ Mansor

Oleh: MARNIZA OTHMAN

KLANG, 7 OGOS: Sejak pemergian Allahyarham Mansor Abu Bakar, ahli keluarga tidak lagi menikmati juadah tauhu sumbat walaupun pada Aidilfitri atau hari biasa.

Isteri Allahyarham, Rozita Bujang, 47, berkata seluruh ahli keluarga termasuk mertua tidak dapat menahan rasa sedih apabila melihat juadah itu yang menjadi antara makanan paling disukai arwah yang sinonim dengan panggilan DJ Mansor selain lemang dan rendang.

Pertama kali sejak pemergian arwah hampir setahun lalu, juadah itu dihidangkan sempena kedatangan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail bersama jawatankuasa Kelab Kebajikan dan Sukan (KESUKEB) Selangor Kini.

IMG-20150806-WA0028“Anak, keluarga mertua dan mak ayah saya sendiri memang tak boleh langsung nak masak atau makan juadah ini kerana ia memang makanan kesukaan dia.

“Arwah main peranan eratkan hubungan kami sekeluarga. Dia suka buat aktiviti bakar lemang setiap kali Aidilfitri tetapi sekarang kalau nak makan kami beli saja.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada warga kerja Selangor Kini dan YB Rodziah yang prihatin masih ingatkan kami sekeluarga”, katanya.

Rozita berkata demikian pada program ziarah Aidilfitri bersama Rodziah Ismail anjuran KESUKEB di kediaman beliau di Taman Sentosa, Klang, semalam.

Rozita menerima sumbangan RM300 serta hamper daripada KESUKEB manakala Rodziah Ismail turut menyampaikan duit raya.

IMG-20150806-WA0024Sementara itu, Rodziah berkata, arwah adalah antara individu yang sentiasa diingati bagi yang mengenalinya.

“Jemputan KESUKEB untuk bersama menziarahi keluarganya memang saya tidak boleh tolak. Ketika beliau masih ada, saya rapat dengannya macam adik-beradik, bahkan arwah jujur dan ramah dengan semua orang”, katanya.

Allahyarham Mansor Abu Bakar adalah Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat Media Selangorku yang meninggal dunia pada 19 April 2014 selepas mengalami komplikasi kesihatan demam denggi, jantung, darah tinggi dan paru-paru.

Allahyarham adalah antara individu awal yang bertugas bersama Media Selangorku ketika baru ditubuhkan sekitar tahun 2009.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.