Categories
SELANGOR

Tauhu sumbat gamit kenangan bersama DJ Mansor

Oleh: MARNIZA OTHMAN

KLANG, 7 OGOS: Sejak pemergian Allahyarham Mansor Abu Bakar, ahli keluarga tidak lagi menikmati juadah tauhu sumbat walaupun pada Aidilfitri atau hari biasa.

Isteri Allahyarham, Rozita Bujang, 47, berkata seluruh ahli keluarga termasuk mertua tidak dapat menahan rasa sedih apabila melihat juadah itu yang menjadi antara makanan paling disukai arwah yang sinonim dengan panggilan DJ Mansor selain lemang dan rendang.

Pertama kali sejak pemergian arwah hampir setahun lalu, juadah itu dihidangkan sempena kedatangan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail bersama jawatankuasa Kelab Kebajikan dan Sukan (KESUKEB) Selangor Kini.

IMG-20150806-WA0028“Anak, keluarga mertua dan mak ayah saya sendiri memang tak boleh langsung nak masak atau makan juadah ini kerana ia memang makanan kesukaan dia.

“Arwah main peranan eratkan hubungan kami sekeluarga. Dia suka buat aktiviti bakar lemang setiap kali Aidilfitri tetapi sekarang kalau nak makan kami beli saja.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada warga kerja Selangor Kini dan YB Rodziah yang prihatin masih ingatkan kami sekeluarga”, katanya.

Rozita berkata demikian pada program ziarah Aidilfitri bersama Rodziah Ismail anjuran KESUKEB di kediaman beliau di Taman Sentosa, Klang, semalam.

Rozita menerima sumbangan RM300 serta hamper daripada KESUKEB manakala Rodziah Ismail turut menyampaikan duit raya.

IMG-20150806-WA0024Sementara itu, Rodziah berkata, arwah adalah antara individu yang sentiasa diingati bagi yang mengenalinya.

“Jemputan KESUKEB untuk bersama menziarahi keluarganya memang saya tidak boleh tolak. Ketika beliau masih ada, saya rapat dengannya macam adik-beradik, bahkan arwah jujur dan ramah dengan semua orang”, katanya.

Allahyarham Mansor Abu Bakar adalah Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat Media Selangorku yang meninggal dunia pada 19 April 2014 selepas mengalami komplikasi kesihatan demam denggi, jantung, darah tinggi dan paru-paru.

Allahyarham adalah antara individu awal yang bertugas bersama Media Selangorku ketika baru ditubuhkan sekitar tahun 2009.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DJ Mansor meninggal dunia, Al-fatihah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 19 APRIL: Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat Media Selangorku, Mansor Abu Bakar kembali ke Rahmatullah pada jam 10.30 pagi tadi selepas mengalami komplikasi kesihatan demam denggi, jantung, darah tinggi dan paru-paru.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Jurukamera Selangor Kini, Hanafi Mohamed selepas beliau dihubungi sendiri oleh anak sulung Allahyarham Mansor pagi ini.

al-FatihahPengurusan jenazah akan dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Delek.

Mansor ditahan di hospital sejak minggu lalu kerana mengalami masalah kesihatan sebelum tidak sedarkan diri dan bergantung dengan bantuan pernafasan melalui mesin.

Sebelum ini, Exco Belia, Sukan dan Kemudahan Infrastuktur Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail meluangkan masa melawat beliau.

InnalillahSementara itu, Bekas Pengurus Bola Sepak Selangor, Zakaria Rahim dalam Facebooknya melahirkan ucapan takziah diatas pemergian Mansor.

“Sahabat saya yang sangat saya hormati kerana kelembutan tutur dan adabnya, pengacara TV Selangor, DJ Mansor telahpun meninggalkan keluarga dan rakan-rakannya buat selama-lamanya jam 10 pagi tadi di Klang.

“Almarhum juga telah tinggalkan ibu yang amat menyanyanginya kerana kata ibunya, arwah tak pernah lupa untuk menelefonnya SETIAP hari bertanya kabar atau bercerita tentang perjalanan hariannya.

1396808_10200897050890332_1794264914_o“Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan meletakkan rohnya dikalangan orang-orang yang soleh. Selamat jalan sabahatku. Kehilangan mu amat dirasai. Innalillah,” katanya.

Mansor yang lebih dikenali sebagai DJ Mansor merupakan antara individu awal yang bertugas bersama Media Selangorku yang ketika baru ditubuhkan sekitar tahun 2009 dan dikenali sebagai Tv Selangor.

Selain mengendalikan rancangan Apa Khabar Selangor (kini dikenali sebagai Salam Selangor), DJ Mansor pernah menjadi penyampai stesen Radio Web Selangor (RWS) selain menjadi tenaga pengajar kepada bakat baru yang ingin menceburi bidang pengacaraan.

Warga kerja Selangorku merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan pemergian Allahyarham DJ Mansor merupakan satu kehilangan besar buat unit penerbitan.

Al-Fatihah…