Categories
NASIONAL

Adakan sidang tergempar jika yakin Najib tidak bersalah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 SEP : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa membawa usul sidang tergempar di Parlimen bagi mempertahankan diri jika benar beliau tidak bersalah.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata usaha itu boleh dilakukan jika pimpinan Barisan Nasional (BN) mendesak Perdana Menteri mengambil langkah sedemikian.

Katanya, ahli Parlimen lain tidak berkuasa memandangkan peraturan sedia ada jelas memihak kepada Perdana Menteri yang kini berdepan kontroversi.

charles“Pakar undang-undang mesti fikir bagaimana untuk membawa Najib ke mahkamah atau dibincang di Parlimen kerana banyak aduan yang diterima sehingga hari ini.

“Alasan Najib tidak boleh diterima, baik dalam kalangan pemimpin Umno ataupun rakyat biasa.

“Jadi, adalah lebih baik jika mereka mendesak Perdana Menteri membawa usul sidang tergempar atau undi tidak percaya untuk membersihkan namanya,” katanya kepada Selangor Kini.

Menurut Charles, Najib perlu membersihkan namanya di seluruh dunia ekoran kontroversi itu menggugat kepercayaan pelabur masuk ke Malaysia.

Katanya, situasi itu juga memberi hentaman besar kepada ekonomi Malaysia yang saban hari merudum selain penurunan nilai ringgit.

“Ramai pelabur luar takut untuk melabur selepas Najib terpalit dengan kontroversi, malah siasatan terhadap perkara itu sudah mula dijalankan negara luar.

“Jika perkara ini berterusan, ia akan menjejaskan Malaysia untuk jangka masa panjang, maka Najib perlu buat sesuatu,” katanya.

Najib-RMTerdahulu, pimpinan pembangkang mendesak supaya sidang tergempar Parlimen diadakan bagi membolehkan Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, tindakan itu menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hanya dibenarkan jika usul itu dikemukakan Perdana Menteri.

Katanya, tiada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat yang menyebut sama ada Ahli Parlimen boleh mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.