Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) merujuk kepada berita bahawa Peguam Negara telah menggugurkan pendakwaan hasutan terhadap Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Melayu, Mohamad Ali Baharom, atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju dan ingin menyatakan bahawa ini adalah satu perkembangan yang baik.
Ini adalah kerana Akta Hasutan 1948 merupakan akta zalim yang menindas, yang digubal oleh penjajah untuk menekan dan mencengkam rakyat.
Walau bagaimanapun, menurut Pendakwa Raya sebagaimana yang dilaporkan dalam berita, kes Ali Tinju digugurkan kerana kononnya kekurangan bukti. Ini amat sukar diterima kerana ucapan Ali Tinju telah dibuat di khalayak ramai dan disebar luas.
GHAH juga ingin mengingatkan Peguam Negara bahawa Akta Hasutan telah baru dipinda dan definisi ‘kecenderungan menghasut’ telahpun tidak merangkumi pihak ‘kerajaan’ dan juga pembangkitan ‘perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana Negeri’ – dan oleh itu bukan lagi merupakan satu kesalahan hasutan.
Ali Tinju merupakan seorang individu yang jelas penyokong Barisan Nasional, maka adalah amat penting Peguam Negara bertindak professional dan memberi layanan yang sama rata kepada para akitivis dan ahli politik yang mengkritik kerajaan juga.
Kami dengan ini menuntut agar Peguam Negara kini mengkaji semula dan menarik balik kesemua pertuduhan lain di bawah Akta Hasutan demi keadilan saksama.
Sekiranya tidak, maka akan dilihat Peguam Negara akan dituduh sebagai beraksi secara dwi standard dan bersifat berat sebelah.
Di sediakan oleh,
Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)