Categories
NASIONAL

Anwar: Himpunan Baju Merah taktik alih pandangan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 SEP: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan perhimpunan Baju Merah yang bakal dianjurkan 16 September ini hanya untuk mengalihkan pandangan masyarakat terhadap kemelut politik dan kegawatan ekonomi yang melanda negara.

Namun katanya, sebarang perhimpunan dianjurkan tidak perlu diselitkan dengan unsur mengapikan isu perkauman dan kebenaran untuk ahli Umno menyertainya menunjukkan kegagalan moral pemimpinnya.

“Adalah wajar pertahankan hak dan keadilan bagi semua kaum dan rakyat termasuk mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu.

“Namun kita tidak wajar mengapikan isu perkauman yang dibantah oleh Islam dan budaya Melayu, seperti yang dirancang melalui perhimpunan baju merah pada 16 September

“Kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi serta sekerat pemimpin Umno lain bahawa ahli Umno bebas untuk menyertai perhimpunan sedemikian, memperlihatkan kegagalan moral pada kepimpinan mereka,” katanya yang disampaikan menerusi peguam dan Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.

Tegasnya rakyat tidak wajar terpedaya atau termakan taktik pecah-belah seperti ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata anggota Umno bebas untuk menyertai perhimpunan itu tetapi mengingatkan mereka supaya patuh kepada undang-undang.

Perhimpunan itu dilapor dirancang diadakan di kawasan Bukit Bintang dan Petaling Street sebagai membantah himpunan BERSIH 4 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos lalu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.