Categories
NASIONAL

Azmin: Ajak PAS dalam Pakatan 2.0 keputusan PKR

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 SEPT: Keputusan PKR untuk mengekalkan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 dibuat atas dasar parti bukan kenyataan peribadi, kata Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata ia sudah diperjelaskan sebelum ini malah sekali lagi ditegaskan dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

PAKATAN RAKYATBagaimanapun, katanya pandangan rakan lain dalam Pakatan tetap diraikan kerana masing-masing berhak untuk bersuara.

“Itu pendirian parti kerana PKR sentiasa mengambil sikap inklusif dan menerima mana-mana parti yang mahu majukan reformasi.

“(Perkara ini) tidak mudah, jadi kita berharap semua pihak perlu menghargai kesulitan dalam rundingan bersama rakan kita dalam pakatan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Seminar ‘Beyond 3R : A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata beberapa pihak mewakili Parti Amanah Rakyat (Amanah) juga mengalu-alukan PAS untuk bersama-sama dalam gabungan baru itu.

Katanya perbincangan dengan semua pihak turut dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan kata sepakat dapat dicapai berhubung perkara itu.

“Kita sentiasa adakan perbincangan dengan semua parti, tiada masalah kerana kita bekerjasama secara konsensus.

“Apa yang saya katakan sebelum ini adalah keputusan parti dan saya harap kenyataan Nurul Izzah dan Tian Chua dapat memberi penjelasan lebih jelas,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.