Categories
SELANGOR

Belanjawan 2016: Selangor peruntuk bina blok baru Maahad Tahfiz

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 18 SEP: Kerajaan Negeri akan menumpukan usaha membina blok baru Maahad Tahfiz seluruh Selangor bagi menampung limpahan pelajar dalam Belanjawan 2016 nanti.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, langkah ini diambil bagi mengangkat martabat umat Islam di negeri terkaya itu sekaligus mampu mendepani pelbagai cabaran mendatang.

MB Azmin“Rizab Selangor mencatatkan pertumbuhan cukup memberangsangkan dengan peningkatan kepada RM3.7 bilion pada minggu lepas berbanding RM3.2 bilion pada tahun lalu.

“Ini adalah pencapaian tertinggi dalam rekod negeri tetapi persoalannya bagaimana kita dapat menggunakan wang ini untuk mengangkat martabat umat Islam.

“Antara program yang kita rancang adalah bangunkan Maahad Tahfiz bukannya membaiki bangunan sedia ada tetapi bina blok baru lengkap kemudahan asrama bagi golongan emas yang mengikuti pengajian al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Bernilai RM43,000 kepada Masjid Jami’ilhuda di Kampung Melayu Ampang, di sini, hari ini.

MB MASJIDSumbangan tersebut diserahkan kepada Nazir Masjid Jami’ilhuda, Basri Khalid bagi membiayai pembelian permaidani baru dan kegunaan lain.

Menurut Mohamed Azmin, membina generasi berakhlak tinggi amat penting bagi memastikan pemimpin masa hadapan tidak mudah terjerumus dalam kancah negatif seperti rasuah, menggunakan harta rakyat untuk kepentingan peribadi.

Selepas Solat Jumaat, Mohamed Azmin turut bersama jemaah lain menunaikan solat jenazah bekas Imam Masjid Jami’ilhuda yang meninggal dunia hari ini.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.