Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 kesal kenyataan KPN

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 SEP: Bersih 2.0 kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) yang tidak mengambil serius isu keracunan makanan dialami peserta Bersih 4.0, pada 30 Ogos lalu.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah, berkata Tan Sri Khalid Abu Bakar seperti memperlekeh pasukan siasatannya sendiri yang masih giat bekerjasama dengan Bersih bagi menyiasat dalang isu berkenaan.

PC-Bersih-3 cropKatanya, Khalid juga ternyata memandang rendah kredibiliti pegawai perubatan profesional yang berkhidmat secara sukarela pada perhimpunan aman itu.

“Bersih rasa sangat terganggu dengan kenyataan KPN bahawa punca keracunan daripada makan terlalu banyak cili walaupun laporan toksikologi belum dikeluarkan.

“Beliau juga secara salah mendakwa hanya dua peserta menerima rawatan dan tiada yang dimasukkan ke hospital. Hakikatnya, 13 peserta dirawat akibat loya, cirit birit dan muntah sementara enam lagi dimasukkan ke hospital termasuk dua kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

polisPada hari kedua perhimpunan Bersih 4.0, ramai peserta dilaporkan mengalami simptom keracunan makanan selepas mengambil paket minuman yang diberikan secara percuma.

Paket minuman itu diletakkan di kaki lima Jalan Tunku Abdul Rahman dengan dua poster tertulis ‘Sokong Bersih 4 – Ambil Satu’.

Pada hari sama, Bersih 2.0 membuat laporan polis berhubung kes itu dengan pasukan medik menyesyaki minuman terbabit disabotaj melalui suntikan jarum.

“Saya menyeru KPN bertindak mengikut amanah yang dipertanggungjawabkan iaitu berkhidmat kepada semua rakyat tanpa sebarang diskriminasi termasuk peserta Bersih 4.0,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.