Categories
SELANGOR

Daroyah: Tanggungjawab Pusat naik taraf hospital lama

AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 SEP: Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melunaskan tanggungjawab menaiktaraf kemudahan semua hospital khususnya di Selangor demi keselesaan pesakit, staf dan pelawat.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, keperluan tersebut perlu ditumpukan terhadap hospital lama yang saban hari terpaksa menampung jumlah pesakit berskala besar.

daroyah“Kita menyambut baik sebarang usaha untuk menaik taraf keperluan hospital khususnya hospital lama.

“Usaha naik taraf perlu dilakukan terhadap prasarana, perkhidmatan kakitangan dan kepakaran doktor untuk keselesaan pesakit yang ada,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu kerja menaik taraf hospital dilakukan segera susulan lawatannya ke Hospital Kajang, 8 September lalu.

Najib mengakui, hospital yang dibina sejak tahun 1889 itu memerlukan perhatian kerajaan untuk tujuan penambahbaikan kemudahan dan aspek keselamatan demi keselesaan pesakit dan staf.
“Kerajaan bersedia mempertimbangkan apa sahaja cadangan untuk mengubah suai dan menaik taraf hospital tersebut supaya dapat memberi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dalam keadaan selesa dan selamat kepada mereka yang memerlukannya,” jelas Najib.

HospitalPada masa sama, Daroyah turut melahirkan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan yang tidak memasukan cadangan pembinaan Hospital Kapar dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menurutnya, Kerajaan Negeri sendiri sudah menyediakan tanah seluas 50 ekar untuk projek berkenaan bahkan perbincangan terperinci sudah diadakan bersama pegawai KKM dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.