Oleh: AFEEQA AFEERA
AMPANG, 5 SEP: Tindakan peniaga pasar malam di Jalan Pandan Indah 4/1, dekat sini, yang tidak mematuhi waktu operasi perniagaan dibenarkan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemilik premis di situ.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata terdapat peniaga mendirikan gerai seawal jam 3.30 petang tetapi waktu yang dibenarkan adalah 4.30 petang.
Katanya, tindakan peniaga pasar malam meletakkan barang niaga di kaki lima kedai bukan sahaja menghalang laluan, bahkan menjejaskan perniagaan pemilik premis terbabit.
“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudah mengeluarkan notis supaya operasi pasar malam hanya dibenarkan selepas jam 4.30 petang.
“Saya minta supaya peniaga patuhi waktu bagi memastikan masalah ini tidak berlarutan yang dikhuatiri boleh menimbulkan perkara tidak diingini,” katanya selepas mengadakan lawatan di situ, semalam.
Pada masa sama, Iskandar yang juga Adun Chempaka turut menasihatkan pemilik premissup aya memberi kerjasama dengan mengalihkan kenderaan bagi memberi laluan kepada operasi pasar malam.
Katanya, peniaga pasar malam yang menjalankan perniagaan di tapak parkir kereta mengalami dilema apabila masih terdapat kenderaan yang tidak dialihkan walaupun notis sudah dikeluarkan.
“Sikap toleransi semua pihak akan melancarkan operasi pasar malam yang melibatkan kira-kira 387 peniaga.
“Jadi, apabila ada pemilik yang tidak memberi kerjasama, peniaga terpaksa ‘mengangkat’ kenderaan mereka hingga menimbulkan perbalahan dan ini yang kita mahu elakkan,” katanya.
-NR-