Categories
SELANGOR

Akademi Muallaf sedia pendidikan kondusif

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 SEP: Usaha memperkasa pendidikan muallaf di negeri ini dipergiatkan melalui penubuhan Akademi Muallaf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Timbalan Setiausahanya, Ahmad Shahir Makhtar, berkata projek bernilai RM7 juta di Hulu Selangor itu akan menjadi nadi pendidikan muallaf dengan persekitaran kondusif.

Katanya, ia akan menawarkan kursus pengajian bermula daripada peringkat asas sehingga pra diploma dengan tempoh berbeza.

AKADEMIK MUALLAF“Akademi ini dijangka mampu menampung sehingga 120 orang pada satu masa melalui tawaran kursus pengajian asas selama empat bulan. manakala pra diploma selama 18 bulan.

“Bagi kursus peringkat diploma, MAIS akan mula mengadakan perbincangan awal dengan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Kita jangka akademi ini akan beroperasi tahun depan” katanya pada Malam Anugerah Qudwatul Hasanah Muallaf ke-11 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kassim; Pengerusi Hal Ehwal Muallaf MAIS, Datuk Emran Kadir dan Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin.

Pada masa sama, Shahir yang juga Ketua Pendaftar Muallaf MAIS, berkata penambahbaikan pendidikan terhadap golongan itu sudah dilakukan melalui pembiayaan pendidikan di peringkat sekolah rendah sehingga doktor falsafah.

Katanya, keutamaan pendidikan akan diberi kepada muallaf cemerlang yang menerima tawaran melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diiktiraf kerajaan.

“Pelajar cemerlang akan terus diberi tajaan sementara yang tidak mencapai kelulusan tahap minima akan diberi perhatian khusus melalui kursus pengukuhan dan motivasi diri,” katanya.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.