Categories
SELANGOR

KPKT digesa umum status Taman Lestari Permai

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 6 SEP: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa memberi penjelasan kepada penduduk Taman Lestari Permai, Seri Kembangan terhadap pengisytiharan terbengkalai kawasan perumahan itu oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata penduduk berhak mengetahui asas pengisytiharan yang diambil oleh JPN keatas kediaman yang sudah diami sejak lima tahun itu sebagai terbengkalai.

yb iskandar 1“Saya akan memanggil KPKT untuk membincangkan isu itu dalam satu mesyuarat dalam masa terdekat.

“KPKT seharusnya mengeluarkan kenyataan bertulis menjelaskan kepada penduduk bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pengisytiharan terbengkalai Taman Lestari Permai yang sebelum ini mengundang banyak pertikaian bahkan merunsingkan penduduk terlibat.

Sebelum ini, penduduk terbabit terkejut dan bingung apabila mengetahui perumahan mereka diisytiharkan terbengkalai JPN menerusi notis yang digantung oleh KPKT.

Penduduk turut mempertikaikan bagaimana sebuah kawasan perumahan memiliki sijil penuh Layak Menduduki (CF) boleh mendapat pengisytiharan berkenaan.

Lebih mengejutkan, KPKT enggan mengeluarkan sebab bertulis kepada wakil penduduk yang tampil memanjangkan perkara itu.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.