Categories
SELANGOR

Mahkamah Persekutuan: Dr Khir dipenjara setahun

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 SEP: Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo atas pertuduhan menggunakan kuasanya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam pada 2007.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Khir12Pada 22 September lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengekalkan sabitan terhadap Dr Khir tetapi menangguhkan keputusannya berkaitan hukuman kepada 29 September.

Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya hartanah terbabit dilucuthak dan diserahkan kepada kerajaan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Mohamad Khir bersalah kerana memperoleh untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Disember 2004.

Bekas ADUN Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.