Categories
NASIONAL

MB: Himpunan merah jengkel, memalukan negara

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 SEP: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyifatkan himpunan baju merah yang kononnya memperjuang nasib Melayu sebagai jengkel dan memalukan negara.

Mohamed Azmin berkata, Himpunan Rakyat Bersatu jelas mencabuli prinsip Hari Malaysia yang harus dirai dengan kegembiraan sebagai satu bangsa, bahkan ia turut mendapat restu Perdana Menteri dan timbalannya.

“Ini adalah hari yang seharusnya rakyat bersama bergandingan seperti disambut di Taman Tasik Shah Alam bagi menunjukkan perpaduan, keamanan, saling menghormati dan berkasih sayang.

MB Azmin“Tiada perkataan dapat menggambarkan betapa meluat dan malunya saya melihat orang Melayu dengan baju merah, lelaki dan perempuan melaung slogan serta ekspresi perkauman,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada 16 September lalu, kira-kira 10,000 peserta baju merah berkumpul di beberapa lokasi sebelum bergerak ke Padang Merbok sebagai bantahan kepada Bersih 4.0 yang berlangsung, pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Perhimpunan itu turut dihadiri pimpinan Umno antaranya Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR turut mempersoalkan sama ada penganjuran itu idea terbaik Umno mengembalikan maruah Melayu.

baju merah 1“Adakah ini idea terbaik Umno mengembalikan maruah Melayu dengan menggerakkan ribuan peneroka Felda dan ahli parti serta membiarkan mereka seperti perusuh untuk menghina orang lain?

“Adakah ini idea terbaik Umno menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri dengan mengeluarkan kenyataan anti Cina, sentimen anti DAP dan provokasi di Low Yat dan Jalan Petaling?

“Dengan mengatakan sentimen perkauman itu selaras dengan ajaran Islam, Umno sebenarnya mencalar maruah Islam dan Melayu,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.