Categories
NASIONAL

Himpunan Merah tak mampu hapus kemarahan rakyat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 27 SEP: Kecurangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menguruskan dana rakyat menyebabkan imej negara tercemar teruk di peringkat antarabangsa, sekali gus menghilangkan keyakinan pelabur asing untuk memasuki pasaran Malaysia.

Isu membabitkan RM43 bilion yang lesap juga mendorong kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib.

MB AzminDato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata Najib terpaksa memperalatkan sekumpulan rakyat yang dikelirukan untuk mengalih isu penyelewengan yang berlaku.

“Himpunan Merah untuk mengalihkan isu kecelaruan dan kepincangan pengurusan ekonomi tetapi tidak mungkin dapat mematikan kemarahan rakyat terhadap rasuah juga salah guna kuasa yang semakin melampau di peringkat nasional, bahkan dah jadi perbahasan di peringkat dunia.

“Kalau kita tengok di media, ini topik yang dibincangkan. Maka, kredibiliti negara sedang berada dalam satu tahap rendah menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan dan akhirnya memberi kesan kepada rakyat.

“Saya harap kami dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) akan terus berusaha memenuhi aspirasi rakyat demi kepentingan semua,” katanya kepada Selangor Kini pada Program Qurban Perdana Dato’ Menteri Besar, di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak, di sini, baru-baru ini.

bersih 4Mohamed Azmin berkata, walaupun Pakatan menyokong hak berhimpun secara aman seperti digariskan dalam Perlembagaan tetapi tindak tanduk peserta itu sengaja menyemai sentimen perkauman yang sempit dengan alasan membela nasib Melayu.

“Dalam perhimpunan Bersih, kita ada matlamat jelas digariskan Perlembagaan iaitu mahu kerajaan dan pilihan raya yang bersih tetapi Himpunan Merah membakar sentimen kaum yang sempit serta tidak membantu pembangunan negara keseluruhannya.

“Kita negara majmuk, perlu menghormati kaum lain sementara hak juga kepentingan bumiputera terus terjamin,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Peserta himpunan merah keliru, tertipu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 SEP: Peserta perhimpunan baju merah tidak menyedari sebenarnya mereka diperalatkan bagi mempertahankan pemimpin korup.

Ini dapat dilihat apabila perhimpunan pada Rabu lalu itu tidak mempunyai hala tuju jelas melainkan cubaan mengalihkan perhatian isu rasuah dengan mempamerkan sentimen perkauman menebal semata-mata.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, peserta perhimpunan itu juga sepatutnya menujukkan ‘tuntutan’ mereka kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukan kepada kaum Cina.

baju merah“Kalau betul mereka rasa Melayu terpinggir daripada pembangunan negara, pentadbiran politik, sepatutnya semua tuntutan ini dituju kepada BN yang memerintah.

“Mengapa nak sorak-sorak kepada orang Cina atau DAP yang bukan sebahagian daripada pemerintah.

“Nampaknya mereka tidak tahu apa sebenarnya hala tuju perjuangan mereka dan ini satu perhimpunan yang mengelirukan diri sendiri dan juga tidak ada matlamat yang nyata,” kata Tian Chua ketika dihubungi Selangor Kini hari ini.

Jelas Tian Chua, langkah mengadakan perhimpunan disaat tercetusnya krisis kepercayaan dan skandal 1MDB juga merupakan bukti mereka diperalatkan.

Katanya, pemimpin yang menggunakan rakyat bawahan bagi melindungi salah laku mereka merupakan pemimpin tidak bermaruah dan tidak bertanggungjawab.

“Mereka tiada tuntutan konkrit. Kita tak tahu apa maruah yang mereka pertahankan,” kata Tian Chua lagi.

Tambah Tian Chua, perhimpunan itu juga menunjukkan Umno semakin kekeringan idea bagi meraih sokongan rakyat.

EZY

Categories
NASIONAL

MB: Himpunan merah jengkel, memalukan negara

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 SEP: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyifatkan himpunan baju merah yang kononnya memperjuang nasib Melayu sebagai jengkel dan memalukan negara.

Mohamed Azmin berkata, Himpunan Rakyat Bersatu jelas mencabuli prinsip Hari Malaysia yang harus dirai dengan kegembiraan sebagai satu bangsa, bahkan ia turut mendapat restu Perdana Menteri dan timbalannya.

“Ini adalah hari yang seharusnya rakyat bersama bergandingan seperti disambut di Taman Tasik Shah Alam bagi menunjukkan perpaduan, keamanan, saling menghormati dan berkasih sayang.

MB Azmin“Tiada perkataan dapat menggambarkan betapa meluat dan malunya saya melihat orang Melayu dengan baju merah, lelaki dan perempuan melaung slogan serta ekspresi perkauman,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada 16 September lalu, kira-kira 10,000 peserta baju merah berkumpul di beberapa lokasi sebelum bergerak ke Padang Merbok sebagai bantahan kepada Bersih 4.0 yang berlangsung, pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Perhimpunan itu turut dihadiri pimpinan Umno antaranya Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR turut mempersoalkan sama ada penganjuran itu idea terbaik Umno mengembalikan maruah Melayu.

baju merah 1“Adakah ini idea terbaik Umno mengembalikan maruah Melayu dengan menggerakkan ribuan peneroka Felda dan ahli parti serta membiarkan mereka seperti perusuh untuk menghina orang lain?

“Adakah ini idea terbaik Umno menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri dengan mengeluarkan kenyataan anti Cina, sentimen anti DAP dan provokasi di Low Yat dan Jalan Petaling?

“Dengan mengatakan sentimen perkauman itu selaras dengan ajaran Islam, Umno sebenarnya mencalar maruah Islam dan Melayu,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Himpunan baju merah tiada semangat pembentukan Malaysia

Oleh: AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 17 SEP: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali secara sinis menyindir perhimpunan baju merah yang disifatkannya tidak senada dengan pembentukan Malaysia kerana ia asasnya dibina melalui semangat perpaduan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Beliau berkata, penyertaan Sabah dan Sarawak ketika itu menunjukkan ‘semua warna’ bersatu demi pembentukan pembentukan Malaysia, pada 16 September 1963.

IMG_8976“Kalau ganerasi muda hari ini dapat menghayati sejarah pembentukan Malaysia, pasti tidak akan berlaku perhimpunan hanya untuk satu warna sahaja. Kita harus menyambut Hari Malaysia dengan semua warna dan rakyat tanpa mengira bangsa kerana harus mempertahankan maruah dan kedaulatan negara,” katanya di sini, semalam.

Mohamed Azmin yang juga Ketua Cabang Gombak, berkata amat malang jika masih ada segelintir pihak mengambil sosok sempit perkauman dan bangsa hingga mengakibatkan kemajuan negara terbantut.

Katanya, rakyat perlu bangkit memecahkan tembok perkauman sempit dan kezaliman bagi membebaskan negara yang sedang berhadapan krisis kepimpinan serta ekonomi.

Pada masa sama, beliau turut memberikan penghargaan kepada petugas di Cabang Gombak hingga menjadikan PKR salah satu parti terkuat dalam Malaysia.

-NFN-