Categories
SELANGOR

MB: Kutipan hasil RM2.2 bilion, lebihi sasaran awal

Oleh: NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 19 SEP: Kutipan hasil Kerajaan Negeri setakat hari ini sudah mencecah RM2.2 bilion berbanding unjuran awal RM1.97 bilion yang dibuat semasa pembentangan Belanjawan 2015 lalu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, keadaan ini membolehkan Kerajaan Negeri membelanjakan lebihan kutipan itu untuk manfaat rakyat pada 2016.

MB Azmin“Kita perlu belanjakan lebihan kutipan ini dalam belanjawan 2016 sekaligus membolehkan rakyat menerima lebih banyak lagi manfaat daripada kutipan hasil yang tinggi ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada Selangor Kini pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bernilai RM43,000 Kepada Masjid Jami’ilhuda di Kampung Melayu Ampang, di sini, semalam.

Jelasnya, lebihan kutipan ini akan dibelanjakan bagi membiayai program dan pembangunan untuk rakyat dan bukannya membiayai kos operasi.

Tambahnya, selain faktor kerja keras semua pihak, kejayaan ini diperolehi apabila setiap sen hasil negeri berjaya diuruskan dengan amanah tanpa sebarang ketirisan dan pembaziran.

“Negara hari ini menghadapi kegawatan ekonomi yang belum pernah dicatatkan dalam sejarah dengan krisis kepimpinan dan keyakinan yang cukup parah.

“Namun, kita bersukur kerana mampu memastikan pentadbiran negeri diasaskan dengan prinsip kebertanggungjawaban, amanah, jujur dan tidak melakukan rasuah,” katanya.

Ditanya sama ada wujud unsur kejutan dalam Belanjawan 2016 nanti, Mohamed Azmin berkata masih terlalu awal dan meminta semua pihak bersabar menunggu sehingga ia dibentangkan nanti.

“Pastinya belanjawan ini fokus membantu rakyat semula golongan dengan pelbagai manfaat ditawarkan nanti,” ujar beliau.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.