Categories
BERITA UTAMA

Pelaburan kurang ummph, DEIG ubat ‘penyakit’ MBI

Oleh: AFEEQA AFEERA

Belum beroperasi tapi kontroversi. Itu antara gambaran yang boleh diberikan jika disebut berkenaan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

Walaupun niat penubuhannya murni, namun sering disalah ertikan hingga memberi gambaran buruk kepada syarikat itu. Jika diteliti, tiada apa yang salah berkenaan DEIG jauh sekali disorok seperti didakwa individu tertentu.

Idea penubuhan DEIG timbul apabila Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali merasakan pelaburan di Selangor kurang ‘ummph’ di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (ASRI)Bukan kata MBI tidak bagus, cuma pemerbadanan itu ‘tempang’ dan perlu diubati sebelum kerugian lebih besar terpaksa ditanggung Kerajaan Selangor.

Nah, mana silapnya kalau Mohamed Azmin cuba betulkan lompong yang ada?

Di fikiran Dato’ Menteri Besar itu, jika MBI dibiarkan kekal di tampuk lama, maka peluang Selangor untuk menambah pendapatan bagaikan samar.

Isu penghapusan legasi kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga tidak timbul kerana MBI sudah wujud sejak sekian lama tetapi tidak di ‘touch up’ ketika itu.

Pada ketika itu, MBI adalah satu-satunya entiti yang terpaksa menguruskan dua agenda utama iaitu program kemasyarakatan atau kerakyatan dan pelaburan.

Keadaan itu menyebabkan MBI hilang identiti dan berlaku kecelaruan pentadbiran apabila terpaksa ‘bersengkang mata’ menjalankan dua tanggungjawab berat pada masa sama.

Memang diakui MBI punya sumbangan besar tetapi tidak salah jika DEIG diwujudkan untuk meringankan beban pemerbadanan itu.

DEIG akan berfungsi sebagai syarikat induk pelaburan 100 peratus milik MBI yang bakal menjalin kerjasama dengan syarikat swasta untuk mewujudkan keuntungan dua hala.

sijil-daftar-DEIGMana-mana anak syarikat yang didapati kurang memberangsangkan atau tidak menjana keuntungan perlu memikirkan pendekatan baru yang akan meningkatkan ekonomi negeri.

Hasil keuntungan itu bukan untuk poket kroni tetapi untuk dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk seperti Rumah Selangorku, manakala MBI pula hanya memfokuskan kepada program tanggungjawab sosial seperti Hijrah, Wifi Selangorku dan Yawas.

Bila tidak timbul pertindihan tugas, maka lebih mudah untuk kedua-dua entiti itu menggalas tanggungjawab masing-masing, bahkan peranan mereka lebih jelas dan kemas bila langkah itu diambil.

Kerja secara berpasukan lebih membuahkan hasil daripada hanya bergantung kepada satu badan sahaja untuk menjalankan pentadbiran.

Ada yang nakal berkata DEIG bebas audit, maka segala aliran tunai keluar atau masuk daripada syarikat itu dilakukan secara sembunyi.

Betulkan fakta anda kerana sebarang maklumat operasi dan kewangan di peringkat DEIG akan direkod dalam MBI melalui kaedah akaun disatukan.

Ini bermakna segala aktiviti kewangan yang berlaku akan dipantau sendiri Dato’ Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan Ketua Pegawai Operasi MBI.

MBI kemudian akan membentangkan akaun disatukan itu termasuk transaksi di peringkat DEIG kepada Kerajaan Negeri dan terbuka untuk diaudit Jabatan Audit Negara.

DEIG UsahasamaUntuk lebih meyakinkan rakyat, akaun DEIG akan turut diaudit oleh firma terkemuka yang dilapor terus kepada Jawatankuasa Audit dan Risiko.

DEIG juga dikehendaki mengemukakan akaun yang diaudit secara berkala dan terbuka kepada penelitian awam dan boleh dinilai agensi kerajaan atau Jawatankuasa Dewan Negeri Selangor (DNS).

Tidak cukup itu, Mohamed Azmin mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat DEIG jika benar syarikat itu terlibat dengan penyalahgunaan dana.

Sekali lagi, ‘peluru’ Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang Selangor tersasar apabila SPRM menyatakan tiada kesalahan rasuah membabitkan DEIG.

Apa lagi yang perlu dirunsingkan? Bertenang, biarlah DEIG bernafas dulu sebelum dikritik membabi buta.

Bukan mengharamkan kritikan atau pandangan, cuma DEIG masih ‘bertatih’ jadi berilah peluang.

Hakikatnya di DEIG, sebarang hal ehwal kewangan tidak akan dilaksanakan selagi sistem tadbir urus dan ketelusan tidak diterapkan ke dalam entiti itu. Jangan disamakan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sudah busuk dan bernanah tapi masih mahu diselindung.

DEIG punya banyak masa memperbetulkan kekurangan untuk memastikan ia benar-benar bermanfaat kepada rakyat Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.