Categories
SELANGOR

Pemantauan dipertingkat pastikan pungutan sampah lancar

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 SEP: Pemantauan di setiap zon Majlis Perbandaran Klang (MPK) dipertingkatkan bagi memastikan perkhidmatan pungutan sampah di kawasan pada tahap membanggakan.

Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK, Azmi Muji, berkata MPK sentiasa melakukan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan ia menjadi semakin baik ketika ini.

“Kita melantik pemantau bagi tujuan itu selain sering mengadakan lawatan bersama kontraktor ke kawasan bermasalah supaya ia mampu ditangani pada kadar segera.

“Antara tindakan dikenakan kepada kontraktor bermasalah adalah pengeluaran Notis Tindakan Pembetulan (NTC), denda dan sebagainya,” katanya kepada Selangor kini.

Setakat ini, beliau berkata, MPK melantik empat kontraktor induk dan 64 kontraktor kutipan bagi menjalankan kerja kutipan sampah di seluruh kawasannya.

“MPK menjalankan proses penambahbaikan berterusan serta menjalankan penguatkuasaan terhadap penduduk bagi mencegah dan menghalang pembuangan sampah secara haram dan merata-rata,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, MPK juga menggerakkan operasi penguatkuasaan undang-undang bermula Mei hingga September ini dan menyita 30 kenderaan termasuk lori dan kereta.

“Manakala sebanyak 145 kompaun dikenakan terhadap pesalah yang membuang sampah di tempat tidak dibenarkan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.