Categories
SELANGOR

Penerima Borang 5A sedih terkenang jiran jadi gelandangan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 22 SEP: Gembira bercampur sedih, demikian perasaan salah seorang penerima Borang 5A ketika ditemui Selangor Kini dalam Majlis Penyerahan Borang 5A di Kampung Baru Sungai Chua, di sini, hari ini.

Hal ini berikutan penerima terbabit, Si Soo Hong, 51 terkenang penduduk warga tua kampung itu menjadi gelandangan selepas rumahnya dirobohkan dan akhirnya meninggal dunia dilanggar kenderaan.

Ean Yong Hian Wah“Gembira sebab selepas diabaikan semasa era BN dulu tetapi hari ini Kerajaan Negeri yang ada sekarang prihatin, gantikan tanah rumah kami yang dirampas tetapi saya sedih kerana teringatkan salah seorang dari kami yang meninggal dunia di bawah jambatan tak lama dahulu.

“Apabila rumahnya dirobohkan dia tak ada tempat tinggal lagi sampailah pada suatu malam semasa itu beliau tidur, dilanggar sebuah kenderaan,” kata Soo Hong kepada Selangor Kini pada Majlis Penyampaian Borang 5A kepada 17 penduduk Kampung Baru Sungai Chua di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Chua, hari ini.

Soo Hong yang menerima Borang 5A bagi pihak ibunya, Hiew Gan Yu, 83 yang tidak hadir kerana uzur berkata, beliau juga terkenang seorang lagi warga tua yang mati diserang penyakit jantung ketika cuba membuka jeriji besi di rumahnya.

“Masa itu cuma beberapa hari sebelum rumah kami dirobohkan. Oleh kerana dah tahu rumahnya nak dirobohkan maka dia cuba membuka jeriji besi untuk dijual dan pada masa itulah dia diserang penyakit jantung dan meninggal dunia.

“Selain itu, suami saya juga ditangkap kerana halang kerja meroboh. Kalau nak cerita kisah duka hal ini memang panjang, tak boleh habis cerita tetapi sekarang ibu dan saya sangat gembira dapat gantikan semula tanah yang dah tiada dulu,” kata Soo Hong lagi.

Sementara itu, pekerja swasta, Law Khien Heng, 34 tahun, pula berharap Kerajaan Negeri yang ada terus kekal bagi melicinkan urusan membantu rakyat memerlukan.

“Diharap kerajaan yang ada kekal membantu rakyat memerlukan kerana kita tak mahu polisi membantu rakyat seperti yang dipraktikkan ketika ini dihentikan jika kerajaan bertukar. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Sementara itu, Siew Yot Kim, 80 tahun pula tidak sabar untuk berkongsi berita gembira ini dengan anak-anaknya.

“Dulu saya tinggal di sini tetapi tiba-tiba dihalau. Sebagai seorang warga tua, tentu sekarang saya gembira kerana dapat semula tanah di kampung ini juga,” kata Yot Kim pula.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.