Categories
SELANGOR

MB: Penyerahan Notis 5A, masalah peneroka diatasi

OLEH HAFIZAN TAIB

RASA, 14 APR: Kerajaan Negeri mengatasi masalah membelenggu peneroka Felda Sungai Buaya dengan penyerahan Notis 5A di kampung itu, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masalah sekian lama dihadapi kumpulan peneroka itu wajar diatasi segera kerana mereka terbeban dengan isu berkenaan.

“Isu tanah Felda Sungai Buaya ini antara isu yang lama iaitu kira-kira 24 tahun membabitkan 363 peneroka di atas 1,000 ekar tanah tidak dapat dibangunkan kerana dirampas Kerajaan Negeri atas alasan mereka tidak membayar cukai.

“Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai kuasa terhadap tindakan itu tetapi ia tidak menyelesaikan masalah dan peneroka terkesan kerana tidak memilikinya.

“Maka Kerajaan Negeri hari ini mengatasinya dengan memberi pemilikan tanah kepada peneroka yang diluluskan pada Januari lalu,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Dalam majlis penyerahan Notis 5A di Kampung Sungai Buaya, Mohamed Azmin menyerahkannya kepada sebahagian daripada 363 peneroka di kampung dalam mukin Serendah serta 206 dari mukim Sungai Tinggi dan 21 (Hulu Bernam).

Beliau berkata, masalah tanah di kampung itu timbul apabila syarikat dipertanggungjawabkan oleh peneroka gagal menunaikan janji bagi membangunkannya.

Katanya, masalah berlarutan apabila Kerajaan Negeri diterajui mantan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2010 bertindak merampas tanah berkenaan.

“Dengan penyelesaian dilakukan, kita serahkan tanah ini kepada semua peneroka dan mereka akan memilikinya dengan satu ekar setiap peneroka untuk tujuan pertanian dan Kerajaan Negeri juga tidak akan mengenakan bayaran premium semasa kerana membebankan mereka.

“Kerajaan Negeri turut mengesyorkan penyelesaian menyeluruh bersama peneroka mengusulkan terma penyelesaian termasuk pampasan wang tunai 50 peratus daripada baki tunggakan akan dibayar kepada semua peneroka,” katanya.

Beliau berkata, isu tanah Felda Sungai Buaya itu adalah antara isu legasi tanah yang lama di Selangor selain isu tanah di Alam Perdana, Alam Mutiara dan Alam Utama.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Penerima Borang 5A sedih terkenang jiran jadi gelandangan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 22 SEP: Gembira bercampur sedih, demikian perasaan salah seorang penerima Borang 5A ketika ditemui Selangor Kini dalam Majlis Penyerahan Borang 5A di Kampung Baru Sungai Chua, di sini, hari ini.

Hal ini berikutan penerima terbabit, Si Soo Hong, 51 terkenang penduduk warga tua kampung itu menjadi gelandangan selepas rumahnya dirobohkan dan akhirnya meninggal dunia dilanggar kenderaan.

Ean Yong Hian Wah“Gembira sebab selepas diabaikan semasa era BN dulu tetapi hari ini Kerajaan Negeri yang ada sekarang prihatin, gantikan tanah rumah kami yang dirampas tetapi saya sedih kerana teringatkan salah seorang dari kami yang meninggal dunia di bawah jambatan tak lama dahulu.

“Apabila rumahnya dirobohkan dia tak ada tempat tinggal lagi sampailah pada suatu malam semasa itu beliau tidur, dilanggar sebuah kenderaan,” kata Soo Hong kepada Selangor Kini pada Majlis Penyampaian Borang 5A kepada 17 penduduk Kampung Baru Sungai Chua di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Chua, hari ini.

Soo Hong yang menerima Borang 5A bagi pihak ibunya, Hiew Gan Yu, 83 yang tidak hadir kerana uzur berkata, beliau juga terkenang seorang lagi warga tua yang mati diserang penyakit jantung ketika cuba membuka jeriji besi di rumahnya.

“Masa itu cuma beberapa hari sebelum rumah kami dirobohkan. Oleh kerana dah tahu rumahnya nak dirobohkan maka dia cuba membuka jeriji besi untuk dijual dan pada masa itulah dia diserang penyakit jantung dan meninggal dunia.

“Selain itu, suami saya juga ditangkap kerana halang kerja meroboh. Kalau nak cerita kisah duka hal ini memang panjang, tak boleh habis cerita tetapi sekarang ibu dan saya sangat gembira dapat gantikan semula tanah yang dah tiada dulu,” kata Soo Hong lagi.

Sementara itu, pekerja swasta, Law Khien Heng, 34 tahun, pula berharap Kerajaan Negeri yang ada terus kekal bagi melicinkan urusan membantu rakyat memerlukan.

“Diharap kerajaan yang ada kekal membantu rakyat memerlukan kerana kita tak mahu polisi membantu rakyat seperti yang dipraktikkan ketika ini dihentikan jika kerajaan bertukar. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Sementara itu, Siew Yot Kim, 80 tahun pula tidak sabar untuk berkongsi berita gembira ini dengan anak-anaknya.

“Dulu saya tinggal di sini tetapi tiba-tiba dihalau. Sebagai seorang warga tua, tentu sekarang saya gembira kerana dapat semula tanah di kampung ini juga,” kata Yot Kim pula.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

PR Tamatkan Isu 50 Tahun Pemilikan Tanah Yang Tidak Dilayan Tiga YB Umno-BN

borang 5a

SEPANG, 16 FEB: Penduduk Kampung Datuk Abu Bakar Baginda akhirnya mampu menarik nafas lega apabila penantian selama lebih 50 tahun untuk memiliki tanah yang didiami selama ini tercapai.

Usaha memiliki tanah yang menempatkan kediaman 15 keluarga di kampung tersebut mula diusahakan sejak 50 tahun lalu oleh generasi sebelum ini.

Bagaimanapun menurut penduduk yang ditemui selepas majlis penyerahan Borang 5A hari ini, usaha mereka sebelum ini tidak dilayan Kerajaan Negeri yang diterajui Umno-BN.

“Lama hingga dah tiga YB dari BN bertukar, sekarang lega, memang itu yang saya tunggu-tunggu.

Hussin Ahmad 2“Lebih 50 tahun cuba usahakan, tapi bila kita kemukakan tiada apa-apa jawapan,” ujar Hussin Ahmad, 71 tahun dengan nada sebak kepada TV Selangor.

Beliau yang mengaku sebelum ini merupakan ahli Umno turut berkata beliau akan memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri yang ada sekarang dalam pilihan raya akan datang.

Latjiman Keman, 48 tahun pula memberitahu usaha untuk mendapatkan hak milik tanah yang didiami keluarganya sudah mula di usahakan oleh Allahyarham bapanya.

“Perjuangan ini melebihi tempoh usia saya dan hampir menemui jalan buntu, tetapi kejayaan hari ini dapat menebus semula titik peluh arwah bapa saya.

Latjiman Keman 2“Kegembiraan ini kami kongsikan bersama dari generasi pertama, generasi kedua dan ketiga.

“Usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri ini merupakan satu usaha murni yang patut diteruskan untuk terus membantu rakyat yang menghadapi masalah yang sama,” kata Latjiman.

Sementara itu, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari pula berkata penduduk Kampung Datuk Abu Bakar Baginda kini tidak lagi perlu bimbang kemungkinan tanah mereka di ambil oleh Kerajaan Pusat.

“Tanah yang mereka diami ini berhampiran dengan Putrajaya, wilayah Kerajaan Pusat yang pesat membangun, jadi memang terdapat risiko ia akan diambil oleh Kerajaan Pusat.

“Tetapi bila mereka dah dapat borang 5A ini, mereka tak perlu lagi bimbang, penduduk boleh hidup dengan tenang,” kata beliau.

Sebelum itu dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Kampung Datuk Abu Bakar Baginda seramai 15 penduduk kampung di sini menerima borang 5A yang disampaikan oleh Dr Yaakob yang mewakili Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Borang 5A adalah surat tawaran memiliki tanah dari Kerajaan Negeri kepada seseorang individu.

Borang tersebut juga diangap sebagai pengesahan pemilikan tanah oleh seseorang individu itu dengan bayaran premium RM1,000 sahaja.

Ketika di era Umno-BN mentadbir, penerima borang 5A dikehendaki membayar premium sekurang-kurangnya 20 peratus dari nilai tanah menyebabkan terdapat penerima tawaran dikalangan berpendapatan rendah terpaksa menolak kerana tidak mampu membayar premium yang tinggi.