Categories
SELANGOR

PMK juara Piala Bola Sepak Borneo 2015

Oleh: AFEEQA AFEERA

KOTA KINABALU, 28 SEP : Perangsang Munro Kickers (PMK) muncul juara Piala Bola Sepak Borneo 2015 apabila menewaskan Sabah Tunas Asas Bola Sepak Safa (TABS) pada penentuan sepakan penalti.

PMK yang bernaung di bawah Rangsangan Sukan Selangor (RSS) berjaya menundukkan pasukan tempatan menerusi gol penalti 1-0 dalam tambahan masa “kalah mati”.

pmk2Perlawanan akhir di Stadium Penampang, dekat sini ditentukan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa penuh dan masa tambahan.

Penjaga gol pasukan PMK, Muhammad Aliff Aiman Mazlan beraksi cemerlang menyelamatkan percubaan TABS, manakala pemain sayap, Yus Hafiq Iqmal Yusri menjaring gol kemenangan.

Terdahulu, mereka berjaya menumpaskan pasukan Sekolah Sukan SMK Datuk Peter Mojuntin Penampang dengan jaringan satu gol tanpa balas untuk muncul juara kumpulan.

Sementara itu, Jurulatih PMK, Hassnol Zamman melahirkan kegembiraan atas kemenangan pasukan itu dan berharap ia dapat dikekalkan pada masa akan datang.

“Pasukan ini terdiri daripada pemain remaja yang datang dari seluruh Selangor dengan sasaran untuk meraih kejayaan.

“Alhamdulillah saya amat gembira kerana pemain berjaya mengotakannya pada perlawanan akhir,” katanya.

PMK menerima tajaan bernilai RM369,230 daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) sejak 2014.

Kejohanan anjuran Borneo Sports & Adventure Holiday berlangsung selama tiga hari bermula 20 September lalu melibatkan pasukan bola sepak remaja dari Malaysia dan Indonesia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.