Categories
NASIONAL

Jerebu: Sekolah dibuka semula Selasa- KPM

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 SEP: Sesi persekolahan yang ditutup selama sehari  kini dibuka semula pada Selasa (esok) selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan penurunan hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini bagaimanapun mengingatkan semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah di seluruh negara agar terus memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

JEREBUMenurutnya, jika bacaan IPU berubah kepada keadaan tidak sihat pada paras bacaan 101-200 atau sangat tidak sihat pada bacaan 201-300, pihak tersebut boleh mengambil tindakan di peringkat masing-masing.

Tindakan boleh dibuat berdasarkan langkah-langkah yang dikeluarkan KPM bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

Kualiti udara tidak sihat yang berlaku sejak Ahad menyaksikan Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak ditutup.

Sekolah jerebuTurut mengambil langkah sama beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (Unisel) selepas pengumuman penangguhan sesi kuliah pada Isnin.

Sebelum ini, hasil pemantauan berterusan di seluruh negara mendapati beberapa negeri dan bahagian mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat (201-300) dan tidak sihat (101-200).

Beberapa tempat di Selangor seperti Shah Alam, Batu Muda, Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang, Petaling Jaya dan Putrajaya antara kawasan yang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat.

Sementara itu, semua sekolah di Johor dan Melaka ditutup pada Selasa (29 September).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.