Categories
SELANGOR

Program basmi kemiskinan perlu diselaras tingkat keberkesanan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 SEP: Program pembasmian kemiskinan bagi semua komuniti perlu diselaraskan dalam usaha memastikan rakyat menerima pembelaan sewajarnya.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan, Haniza Talha, berkata tiada program khusus untuk tujuan itu setakat ini, sebaliknya hanya pendekatan secara tidak langsung.

Beliau berkata pihak berkenaan perlu berhubung dengan stanco kemiskinan untuk memastikan program pembasmian mempunyai kesinambungan.

haniza-tahla_dewan“Mungkin ada pihak menganjurkan program yang baik, tetapi tiada hubungan atau kaitan secara spesifik bersama bahagian yang menguruskan pembasmian kemiskinan.

“Disebabkan itu, program yang ada walau bagaimana bagus sekalipun tidak boleh dimanfaatkan secara keseluruhan kerana tiada penyelarasan,” katanya kepada Selangor Kini.

Dalam pendengaran itu, fokus diberikan kepada Kampung Baru Cina yang mempunyai 78 kampung di seluruh Selangor dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM5 juta setahun.

Mengulas lanjut, Haniza yang juga Adun Taman Medan, berkata program pendidikan yang dianjurkan Kampung Baru Cina harus dipuji kerana ia membuka minda penduduk setempat.

Katanya langkah itu boleh dicontohi Kampung Tradisi Melayu dan Kampung Komuniti India dalam memastikan seluruh masyarakat dibekalkan ilmu dan pengetahuan.

“Penganjuran program Riang Ria Membaca yang dianjurkan komuniti Cina sesuatu yang baik kerana ia berkaitan dengan pendidikan.

“Jika masyarakat memiliki tahap pendidikan tinggi, maka ia membawa perubahan cara hidup, berfikir dan peluang untuk menambah pendapatan terbuka luas.

“Ia adalah program sosial yang sangat baik dan harus dicontohi,” katanya.

Haniza berkata segala saranan dibawa dalam pendengaran tertutup itu dibawa dalam penyata untuk dibahaskan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.