Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 12 SEP: Festival Idearaya 2015 membuka tirainya dengan syarahan Felo Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani.
Disampaikan secara santai, Faisal mengupas isu berhubung hak asasi manusia serta kaitannya dengan Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR).
Bertempat di Panggung Utama, Laman Budaya, segmen syarahan dengan tajuk Hak Asasi Manusia: Dari Sejak Prasasti Talang Tuo (684 Masehi) Sehingga Era Najib Razak (2015 Masehi) pagi ini berjaya menarik lebih 200 hadirin walaupun terpaksa duduk di atas lantai dan tangga.
Ternyata, cuaca sedikit berjerebu di sekitar bandar raya Shah Alam tidak menghalang warga kota untuk membanjiri Laman Budaya.
Selain segmen syarahan, program hari ini turut dimeriahkan dengan tayangan tiga filem, bengkel Alam Kanak-kanak, serta forum Sejarah Politik dan banyak lagi.
Program dua hari itu akan bersambung esok dengan pelbagai segmen menarik termasuk bengkel seperti Tepuk-Tepuk Cajun, Apresiasi Sajak Di Pinggir, syarahan oleh Syed Farid Al-Attas, persembahan gig serta lain-lain.
Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan program dua hari anjuran bersama Kerajaan Negeri itu dan masuk adalah percuma.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melawat laman web idearaya.com atau ke laman Facebook rasmi dengan menaip Idearaya.
EZY