Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 4 SEP: Universiti Selangor (Unisel) sekali lagi melangkah ke hadapan dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) serta memorandum perjanjian (MoA) bersama empat jaringan industri, hari ini.
Setiausaha Kanan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Teknologi dan Inovasi, Abbas Awang, berkata usaha itu mampu menghasilkan produk bermutu tinggi seterusnya menjana pendapatan kepada Unisel.
Katanya, ia juga selaras dengan misi Selangor menjana dan memperkukuh pembangunan industri.
“Diharap juga usaha sebegini akan terus berkembang bagi memberi peluang golongan yang tidak mampu mengguna otak, mampu mengguna otot mereka untuk menyumbang kepada pembangunan.
“Selama ini kita terlalu fokus kepada potensi otak sahaja tanpa memberi tumpuan dan penekanan kepada potensi lain,” katanya.
Beliau berucap demikian pada majlis Menandatangai MoU dan MoA antara Unisel dan empat syarikat swasta di APFT Maintenance Training Berhad, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademi Unisel, Profesor Dr Mokhtar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah serta wakil-wakil syarikat terlibat.
MoA melibatkan UNISEL bersama DNS Venture Sdn Bhd dan Bostani Technology Sdn Bhd. Manakala MoU pula melibatkan UNISEL bersama syarikat Teamwork Allgain Sdn Bhd dan APFT Maintenance Berhad.
Terdahulu, Kerajaan Negeri meluluskan geran RM300,000 bagi Unisel dengan kerjasama DNS Venture menghasilkan pembersih udara berjenama Airys.
Produk mesra alam itu dilaporkan mendapat tempahan 100,000 unit dari Arab Saudi.
-NR-