Categories
NASIONAL

10 pemimpin tekad terus lawan kezaliman Akta Hasutan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OKT: 10 individu termasuk Ahli Parlimen PKR Subang, Sivarasa Rasiah yang bakal didakwa di bawah Akta Hasutan bertekad untuk terus melawan kezaliman akta itu.

#KitaLawan10 yang didakwa itu adalah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; ADUN Teja, Chang Lih Kang; ADUN Semambu, Lee Chean Chung, Pemimpin Jingga 13, Fariz Musa; aktivis Mandeep Singh, Adam Adli dan Rozan Azen Mat Rasip yang merupakan pembantu kepada Tian Chua.

Akta HasutanTian Chua menyifatkan tuduhan yang dikenakan itu sebagai tuduhan tidak berasas.

Malah, katanya, tindakan dilakukan sebelum ini adalah hak individu yang termaktub dalam perlembagaan.

“Tuduhan tiada asas. Apa yang kita lakukan adalah hak yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Tian Chua menasihatkan supaya Adun dan Ahli Parlimen yang bakal didakwa supaya tidak harus takut akan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat.

Selain itu, Tze Tzin pula berkata #KitaLawan10 adalah mangsa kepada pendakwaan terpilih oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata tindakan pendakwaan itu hanya bertujuan mahu ‘melenyapkan’ beliau dan beberapa pemimpin lain.

“Akta Perhimpunan Aman digubal utk beri hak kebebasan berhimpun. Sekarang kami pula didakwa kerana berhimpun secara aman.

“Ramai Ahli Parlimen dan Adun yang terbabit dalam pendakwaan itu. Kami akan kehilangan kerusi jika disabit kesalahan.

“Mereka sebenarnya ingin menyenyapkan kami melalui pendakwaan, tapi kami tidak akan mengalah. Lawan tetap lawan. Kami yakin rakyat adalah hakim negara,” katanya.

Pada 8 September lalu, mereka didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan Kita Lawan antara 28 Februari dan 28 Mac.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (2) (c) PAA dan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga ahli Parlimen PKR itu boleh kehilangan status ahli Parlimen mereka jika didapati bersalah. Mereka akan secara automatik hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika didenda RM2,000.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.