Oleh : AFEEQA AFEERA
GOMBAK, 5 OKT : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) komited membantu pelarian di seluruh dunia yang berdepan krisis kemanusiaan di negara mereka.
Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata sikap terbuka yang diamalkan organisasi itu adalah selaras dengan visi kemanusiaan sejagat yang perlu diberi perhatian.
Katanya, meskipun tindakan menerima pelarian membawa kesan, namun ia bukanlah alasan untuk tidak membantu golongan yang memerlukan.
“Walaupun dasar luar Malaysia tidak menerima atau melindungi pelarian, namun kita sentiasa mengamalkan dasar kemanusiaan tinggi untuk membantu mereka.
“Hanya mereka yang pro kepada peperangan dan kezaliman sanggup membiarkan pelarian bebas dan tidak mendapat tempat di negara masing-masing,” katanya kepada Selangor Kini.
Raimi berkata, usaha memberi perlindungan kepada warga Syria terus dipergiat dengan sokongan moral daripada rakyat Malaysia.
Katanya, kemahiran Malaysia menguruskan pelarian tidak boleh dinafikan, apatah lagi negara itu antara yang terkehadapan dalam isu berkenaan.
“Kita perlu pandang sudut kemanusiaan dengan positif dan inilah sumbangan yang boleh kita berikan.
“Fokus ABIM adalah membantu pelarian seperti Palestin, Bosnia, Vietnam, Xinjiang, Syria dan negara yang mengalami krisis kemanusiaan berdasarkan sokongan moral rakyat Malaysia,” katanya.
Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.
Sejak empat tahun lepas, kira-kira empat juta pelarian Syira melarikan diri ke negara jiran dan bergelumang dalam kancah kemiskinan.
-NR-