Categories
SELANGOR

Kerjasama Selangor – Maybank diperluas, bantu pembeli rumah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PANDAN, 5 OKT: Program Kerjasama Kerajaan Negeri – Maybank yang asalnya diwujudkan bagi membantu pembeli projek perumahan Bukit Botak mendapatkan pinjaman bakal diperluaskan lagi dalam Belanjawan 2016 nanti.

Exco Perumahan, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata langkah itu diambil bagi membolehkan pembeli yang tidak mempunyai pendapatan tetap, tiada bukti pendapatan dan umur lanjut mendapatkan pinjaman bank membeli kediaman masing-masing.

“Ini adalah program membantu pembeli rumah projek Bukit Botak yang sekarang dikenali sebagai Selayang Mutiara apabila ada di antara mereka tidak dapat pinjaman Bank.

Pelancaran Rumah Selangorku di Setia City Convention Centre MB (1)“Kita adakan perbincangan dengan Maybank yang bersetuju memberi pinjaman kepada mereka jika dalam keadaan biasa mereka tak dapat pinjaman tetapi Kerajaan Negeri meletakkan sejumlah wang di dalam Maybank sebagai jaminan.

“Ini bermakna jika Kerajaan Negeri tak melangkah masuk, sampai bila-bila mereka tidak dapat pinjaman dan kita melihat skim ini boleh diperluaskan ke tempat lain apabila kita dah pun dapat persetujuan Maybank mempraktikkan kaedah ini bagi program lain,” kata Iskandar.

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini pada Sambutan Pesta Tanglung peringkat DUN Chempaka di Pandan Jaya di sini, malam tadi.

Pada Ogos lalu, Kerajaan Negeri dan Maybank memeterai Perjanjian Skim Khas Pembiayaan Pembelian Rumah Selangorku bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapatkan pinjaman.

Kerjasama fasa pertama itu itu melibatkan 674 orang daripada lima projek Rumah Selangorku, Taman Selayang Mutiara, (164 pembeli), Rumah Kos Rendah (RKR) Rimba Jaya (104) orang, RKR Ukay Indah Sungai Sering (116), RKR Lembah Subang 2 (262) dan RKR Berembang Indah (28).

Skim itu membiayai sehingga 97.5 peratus daripada nilai harga hartanah dengan tempoh pembiayaan 30 hingga 60 tahun.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.