Categories
NASIONAL

Ahli Parlimen bertanggungjawab patut bangkit tolak bajet 2016

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan perlu bersatu menyata protes menolak bajet 2016 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam sidang Dewan Rakyat esok.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin, berkata sebagai Ahli Parlimen mewakili dan mendokong suara rakyat, tindakan itu perlu diambil demi mengatasi krisis kepimpinan dihadapi negara ketika ini.

Raja Kamarul Bahrin“Tidak pernah berlaku sebelum ini rakyat menyatakan rasa tidak puas hati dan menolak kepimpinan Perdana Menteri ekoran berlaku krisis ekonomi dan sosial.

“Kita perlu menyatakan pendirian bersama dan Ahli Parlimen berani serta bertanggungjawab perlu tampil menyokong menolak bajet dibentangkan.

“Ini adalah kali pertama dan mungkin ini sahaja peluang yang ada untuk kita merubah keadaan menjadi lebih baik,” katanya dalam sidang media di sini Dewan Rakyat, hari ini.

Raja Kamarudin berkata, beberapa pemimpin kehilangan jawatan apabila bersuara sebelum ini seperti mantan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Allahyarham Tan Sri Ani Rope, mantan Pengerusi Petronas, Tan Sri Hassan Marican dan mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya, jabatan dan agensi diketuai mereka menjadi mangsa kerajaan bagi menampung ketirisan terhadap beberapa isu dan skandal berlaku dahulu dan kini.

“Terkini isu 1MDB serta penurunan nilai ringgit mencetuskan kebimbangan rakyat serta banyak pihak.

“Majlis Raja-Raja turut menyatakan pendirian sama dan tidak terkecuali mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin kanan lain,” katanya.

Katanya, Ahli Parlimen berani dan bertanggungjawab dari BN dan Pakatan diperlukan bagi menjayakan tujuan berkenaan.

“Tampillah ke hadapan bila negara memerlukan anda untuk merubah keadaan lebih baik,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.