Categories
NASIONAL

Badan Amanah TBH bantu keluarga mangsa kematian dalam lokap

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 12 OKT: Badan Amanah Teoh Beng Hock (TBH) mengumumkan satu skim bantuan kewangan kepada keluarga mangsa kematian dalam lokap bertujuan menyokong rakyat menuntut keadilan dalam kes mencabul hak asasi manusia.

Naib Presiden, Ng Geok Chee, berkata skim itu membenarkan keluarga mangsa memohon bantuan perbelanjaan dalam inkues RM6,000 atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan.

“Kos yang diberikan subsidi termasuk pengangkutan keluarga mangsa dan peguam dari kediaman ke mahkamah, penginapan dan subsidi makanan untuk tempoh menghadiri inkues.

IMG_9397“Jika kes dibawa ke mahkamah atasan seterusnya, maka maksimum bantuan kewangan adalah RM10,000,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Sehingga kini, skim bantuan mempunyai dana kewangan terkumpul RM200,000 hasil sumbangan orang ramai yang juga digunakan untuk melatih sukarelawan.

Skim Badan Amanah TBH juga terbuka kepada peguam dan tempoh menunggu kelulusan permohonan bergantung kepada tarikh inkues, manakala permohonan pertama sudah diluluskan terhadap kes Kamarulnizam Ismail dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Beliau seorang pekerja kilang ditemui mati pada 8 Mac 2014 di Penjara Tapah atas sebab ‘infeksi dada’ apabila ditahan, sejak 3 Mac 2014.

Sejak Julai lalu, Badan Amanah TBH sudah menyumbang RM3,000 untuk kes terbabit.

“Kami menegaskan kerajaan mesti mengambil sikap toleransi sifar terhadap kematian dalam lokap atau agensi kerajaan. Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), 242 kes kematian dalam lokap dilaporkan dari tahun 2000 hingga 2014.

“Polis, pusat tahanan, penjara dan SPRM perlu mengambil angkah untuk menghormati hak asasi rakyat di bawah tahanannya. Keganasan polis mesti dihentikan dan hak akses kepada perkhidmatan kesihatan mesti dijamin,” katanya.

Permohonan bantuan boleh dikemukakan dengan memuat turun borang dalam laman sesawang www.teohbenghock.org.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.