Categories
SELANGOR

Bakar suar: Langkah keselamatan dipertingkat, elak berulang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 OKT: Beberapa langkah keselamatan bakal diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi membendung pembakaran suar semasa perlawanan bola sepak.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata keputusan Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menunjukkan gejala membakar suar perlu dibendung dengan kerjasama semua pihak.

“Sebelum ini memang selalu FAS kena dengan FAM tetapi kali ini FAM pula kena dengan FIFA.

Suar bola“Ini bermakna pembakaran suar dan sebagainya memang masalah pada kita tetapi Kerajaan Negeri dah ambil beberapa langkah termasuk pasang litar kamera tertutup (CCTV) yang saya jangka Menteri Besar umum dalam belanjawan nanti,” kata Amirudin.

Amirudin yang juga Pengurus Pasukan Bola Sepak Selangor berkata demikian selepas mewakili Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali merasmikan Wacana Pendeta Za’ba: Pemikir Umat Rentas Zaman di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Katanya, beliau melahirkan keyakinan insiden pembakaran suar tidak menggambarkan pasukan kebangsaan sudah hilang sokongan secara keseluruhan.

“Perkara ini kita kena perhatikan bersama dan perkara ini boleh diubah,” kata Amirudin lagi.

Semasa perlawanan Pra Piala Dunia dan Piala Asia melibatkan perlawanan pasukan Harimau Malaya menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam bulan lalu, penonton bertindak membakar suar di minit akhir perlawanan bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap FAM.

Gara-gara insiden itu, FAM yang sebelumnya kerap mendenda persatuan bola sepak beberapa negeri, kali ini didenda FIFA sebanyak RM180,000, bermain di stadium tanpa penonton dan kemenangan percuma 3-0 kepada Arab Saudi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.