Categories
SELANGOR

Terokai kursus kemahiran, jamin kelangsungan ekonomi

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Golongan belia desa disaran melengkapkan diri dengan kemahiran tertentu bagi menjamin kelangsungan ekonomi yang terjamin.

Pembantu Exco Hal Ehwal Agama, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Razaly Hassan, berkata kemahiran seperti masakan dan dandanan mampu menjana pendapatan lumayan.

Katanya, peluang sebegini juga bermanfaat kepada golongan belia desa terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi getir ketika ini.

Razaly“Ada pengusaha makanan yang sekadar berniaga pasar malam mampu meraih pendapatan tinggi, malah bergelar jutawan senyap.

“Begitu juga pengusaha kedai gunting rambut, sebulan sahaja pendapatan boleh mencecah RM6,000.

“Malangnya, kurang anak Melayu yang berminat bidang dandanan,” katanya yang juga Adun Dusun Tua.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutup Kursus Jangka Pendek Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi di Dewan Auditorium, Kolej Antarabangsa Inpens, di sini, 4 Oktober lalu.

Diiringi Pengurus Komunikasi Inpens, Jefri Mijan, beliau turut menyampaikan sijil penyertaan kepada 120 peserta.

Terdapat lima kursus sepanjang selama dua hari (3 dan 4 Oktober) membabitkan Kursus Jahitan, Dandanan Rambut, Kecantikan, Penyejukbekuan dan Bengkel Motosikal.

Setiap peserta diberikan kursus dan latihan secara percuma selain pengangkutan turut disediakan Pejabat Daerah.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.