Categories
BERITA UTAMA

Bela dan tebus maruah Melayu!

Oleh: NURUL IZZAH ANWAR

MENYELUSURI gerakan membela maruah Melayu pasti menemukan kita dengan pelbagai cabang perjuangan.

Malah kebanyakan cabang tersebut hanya menumpukan soal penyatuan bangsa semata-mata tanpa membicarakan keperluan dan pengisian pengangkatan bangsa Melayu itu secara holistik dan menyeluruh.

Kegagalan melihat secara luas konsep pembelaan maruah ini telah menyebabkan perjuangan tersebut terjerumus ke lembah perkauman sempit.

Nurul-IzzahSetiap bangsa di dunia ini pastinya mempunyai akar budaya dan sejarah keagamaan yang kompleks. Melayu itu juga merupakan nama sebuah bangsa besar yang mendiami seluruh kepulauan Nusantara ini. Maka sudah tentu keragaman bahasa, budaya dan fahaman agamanya begitu rencam.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang pernah menggunakan kata nama Melayu sebagai nama negaranya. Ini bukanlah suatu hal yang disengajakan, tetapi melambangkan penyatuan keseluruhan segenap bangsa Melayu yang pelbagai itu memilih tanah semenanjung ini sebagai kediaman mereka.

Selepas berakhirnya era penjajahan sekitar 1957, semenanjung ini telah dihuni lebih dari satu bangsa melalui aktiviti perdagangan, manakala penggabungan Semenanjung dan Borneo pada 1963 pula melahirkan sebuah negara Malaysia yang beridentitikan negara berbilang kaum sekali gus memperlihatkannya seperti sebuah mini Asia.

Justeru, percantuman kepelbagaian budaya ini telah menjadikan evolusi Melayu dari satu yang merupakan hanya bangsa pertanian dan pelaut kepada bangsa industri, sekali gus melahirkan sebuah peradaban baharu di Asia Tenggara.

Pembelaan maruah bangsa Melayu ini seharusnya dijana melalui kefahaman tuntutan Islam. Islam menegaskan soal keperluan menegakkan keadilan yang mencakupi segenap sendi kehidupan serta pemerintahannya.

Adalah memalukan apabila sebuah perjuangan membela maruah hanya berkisar soal remeh dan guna cara memaki hamun sambil menolak membicarakan persoalan dasar seperti rasuah dan penindasan perundangan yang dilakukan pemerintah terhadap anak bangsanya.

Memetik kata Dr Siddiq Fadzil melalui bukunya Islam dan Melayu, “Kesedaran tentang nilai maruah juga telah menjadikan Melayu bangsa yang berbudaya dan saling hormat.

Dalam interaksi kemasyarakatannya, Melayu selalu berusaha untuk tidak menjatuhkan air muka orang lain. Mengaibkan, caci-mencaci dan hina-menghina adalah pantang Melayu turun-temurun.

Kerana kesedarannya tentang maruah, orang Melayu akan sangat marah apabila dihina dengan kata-kata ‘muka tak tahu malu!’ Justeru, tahu malu adalah sifat orang bermaruah.”

Makanya, hendaklah kita mempertahankan maruah bangsa ini dengan meneruskan seperti mana yang telah dipelopori Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau melakar kerangka politik baharu yang sederhana dengan menolak sebarang asas ekstremis serta tegas dalam isu keadilan. Menentang korupsi, memperkukuhkan keluhuran undang-undang serta pengakuan kerjasama kaum merupakan pemangkin pembentukan masyarakat madani.

Sikap cenderung ke arah perkauman secara keterlaluan memang sentiasa wujud di negara-negara yang sedang berkembang. Kecenderungan ini adakalanya diucapkan dengan indah dalam karya seni dan sastera.

Mereka yang sukar menyesuaikan diri dengan keadaan kerana berdepan desakan gerak perubahan yang pantas, sering mundur bersembunyi di dalam tempurung kaumnya. Sikap jelik ini mudah digerakkan ke arah kuasa politik sukuan yang cukup menggerunkan.

Oleh yang demikian, bangsa Melayu harus bangkit melalui suara pembelaan sejagat. Menolak aspirasi kesukuan dengan mengangkat martabat bangsa melalui fahaman Islam.

Sederhana dalam menanggapi sesuatu isu terutama yang melibatkan sosiobudaya melalui wacana. Masyarakat Melayu punya keluhuran akal budi yang tinggi, amatlah malang jika ia ditanggapi dengan sikap ekstrem.

Bangsa Melayu sebagai abang besar di negara ini yang telah memegang tampuk kekuasaan politik, pentadbiran, perkhidmatan polis dan ketenteraan sejak merdeka perlu bangkit mempertahan, membela dan menebus maruah bangsa.

Detik ini, maruah Melayu terus menerus dicabar oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Maruah bangsa tercalar dengan skandal rasuah antarabangsa. Skandal hutang 1MDB yang mencecah RM42 bilion, wang derma RM2.6 bilion dan skandal pembelian hartanah di Amerika Syarikat dan Australia. Di manakah maruah kita?

Rasulullah SAW bersabda, “Jihad yang paling utama ialah kata-kata yang benar di hadapan pemimpin yang zalim.” (Riwayat An-Nasa`i). Maka katakanlah kebenaran dan jangan pernah gusar kerana ALLAH SWT bersama mereka yang mengatakan kebenaran. Ayuh, bangkit, pertahan, bela dan tebus maruah bangsa kita, bangsa Melayu.

* Penulis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai

Dipetik: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.