Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri berupaya menukar belanjawan defisit dibentangkan untuk 2016 menjadi surplus seperti apa berlaku kepada belanjawan tahun ini.
ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail, berkata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali tentu sudah melihat dari pelbagai sudut sebelum melakukan pembentangan belanjawan itu di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.
“Tahniah Dato’ Menteri Besar yang bagi saya membentangkan belanjawan agak berani dengan peningkatan perbelanjaan keseluruhan berbanding tahun lalu.
“Ia defisit dan keyakinan kita apabila Selangor selama ini berjaya mengekalkan prestasi baik mungkin boleh mengatasinya seperti mana tahun ini,” katanya kepada Selangor Kini di lobi DNS, di sini, semalam.
Katanya, diharapkan juga belanjawan itu bukan bersifat ‘one off’ tetapi belanjawan memberi kesan kesinambungan positif kepada rakyat.
Beliau berkata, pihaknya membangkitkan beberapa perkara perlu dalam sidang dewan bagi mendapatkan maklum balas lebih lanjut daripada Kerajaan Negeri.
“Ada bebarapa isu selain kenaikan gaji guru KAFA yang menggembirakan tetapi Kerajaan Negeri juga patut melihat elaun untuk ketua kampung yang dinyatakan pada tahun lalu. Itu kita tanya dalam dewan nanti.
“Saya juga sedikit terkesan pembangunan difokuskan lebih kepada pembangunan fizikal, memang kita yakin masalah banjir dan jalan raya itu perkara baik tetapi mesti seimbang dengan pembangunan sosial,” katanya.
EZY