Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lagi kes kemalangan maut langgar Plaza Tol Batu 3

SHAH ALAM 19 FEB: Kemalangan maut melibatkan Plaza Tol Batu 3 Shah Alam masih lagi berlaku walaupun ia sudah tidak beroperasi.

Dalam kejadian terbaharu, dua maut selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar tembok di Plaza Tol Batu Tiga di sini yang tidak beroperasi lagi tengah malam tadi.

KOSMO ONLINE melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam itu, mangsa Fathurezza Khairol Hida Halimsuyto, 31, dan Noor Hidayah Mohamed Rezmi, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Shah Alam selepas menghadiri sambutan hari lahir di Kuala Lumpur.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dipandu Fathurezza dipercayai hilang kawalan akibat dipandu laju sebelum terbabas dan melanggar tembok di plaza tol berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan,” katanya.
Baharudin berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sebelum ini pada 14 Januari lalu, dua remaja maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Plaza Tol Batu Tiga itu.

Dalam kejadian jam 6.36 pagi itu, ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah Perodua Kancil dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.

Kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai gagal dikawal lalu melanggar plaza tol berkenaan.

Susulan pelanggaran itu, dua rakannya yang menumpang dalam kereta iaitu seorang remaja lelaki berusia 21 tahun dan seorang perempuan berusia 20 tahun maut di tempat kejadian.

GAMBAR KREDIT: KOSMO ONLINE

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan defisit 2016 mampu jadi surplus

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri berupaya menukar belanjawan defisit dibentangkan untuk 2016 menjadi surplus seperti apa berlaku kepada belanjawan tahun ini.

ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail, berkata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali tentu sudah melihat dari pelbagai sudut sebelum melakukan pembentangan belanjawan itu di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

BELANJAWAN-SELANGOR-2016-1-660x471“Tahniah Dato’ Menteri Besar yang bagi saya membentangkan belanjawan agak berani dengan peningkatan perbelanjaan keseluruhan berbanding tahun lalu.

“Ia defisit dan keyakinan kita apabila Selangor selama ini berjaya mengekalkan prestasi baik mungkin boleh mengatasinya seperti mana tahun ini,” katanya kepada Selangor Kini di lobi DNS, di sini, semalam.

Katanya, diharapkan juga belanjawan itu bukan bersifat ‘one off’ tetapi belanjawan memberi kesan kesinambungan positif kepada rakyat.

Beliau berkata, pihaknya membangkitkan beberapa perkara perlu dalam sidang dewan bagi mendapatkan maklum balas lebih lanjut daripada Kerajaan Negeri.

“Ada bebarapa isu selain kenaikan gaji guru KAFA yang menggembirakan tetapi Kerajaan Negeri juga patut melihat elaun untuk ketua kampung yang dinyatakan pada tahun lalu. Itu kita tanya dalam dewan nanti.

“Saya juga sedikit terkesan pembangunan difokuskan lebih kepada pembangunan fizikal, memang kita yakin masalah banjir dan jalan raya itu perkara baik tetapi mesti seimbang dengan pembangunan sosial,” katanya.

EZY