Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor: Kekalkan MES, tambah rumah mampu milik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Ahli Parlimen Selangor berharap Kerajaan Negeri terus komited membantu rakyat negeri itu menghadapi kelembapan ekonomi dijangka berlaku pada 2016.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata antara langkah boleh diambil dalam Belanjawan Selangor 2016 adalah mengekalkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

charles“Pejabat saya sering didatangi penduduk meminta bantuan kerana rumah mereka tiada makanan.

“Ramai dari kalangan mereka tidak dapat bantuan Kerajaan Pusat. Kerajaan Selangor dapat bantu golongan ini melalui skim MES,” kata Charles kepada Selangor Kini di Lobi Parlimen, di sini.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat, pula berkata idea melahirkan skim MES kini menjadi ikutan Kerajaan Persekutuan wajar diteruskan ekoran keberkesanannya.

“Kita harap semua program ditawarkan MES tak ditarik balik walaupun dalam keadaan ekonomi agak lembab sekarang.

“Saya harap Dato’ Menteri Besar dapat terus beri khidmat terbaik mengotakan ikrar bergerak ke hadapan. Kurangkan berpolitik tetapi lebihkan kerja untuk rakyat,” katanya.

hee loy seanSementara Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, pula berharap Kerajaan negeri mempergiatkan lagi usaha menambah rumah mampu milik untuk rakyatnya.

“Saya harap belanjawan kali ini beri perhatian khusus kepada rumah mampu milik. Itu diperlukan rakyat bukannya rumah mampu tengok seperti Prima.

“Saya percaya Kerajaan Selangor mampu mengambil langkah membina rumah mampu milik,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.