Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Negeri bantah kenaikan tol

Oleh: MOHAMED AZMIN ALI

KeputusanKerajaan Persekutuan untuk membenarkan kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya di seluruh negara berkuatkuasa hari ini adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Kenaikan tol di antara 10 sen sehingga RM4.70 hanya akan membebankan rakyat di dalam keadaan ekonomi negara yang semakin gawat dan kos sara hidup yang semakin tertekan.

Kerajaan Negeri telah memanggil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang masing-masing memiliki saham minoriti 30% dalam syarikat konsesi Lebuhraya KESAS sejak 1993 dan 20% dalam syarikat konsesi Lebuhraya SPRINT sejak 1999 untuk memberikan penjelasan kepada MTES.

Walaupun tidak mempunyai kuasa pemutus dan hanya merupakan pemegang saham minoriti dalam syarikat konsesi lebuh raya, adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri membantah kenaikan tol yang tidak bertanggungjawab dan menekan kehidupan rakyat yang semakin terhimpit akibat kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit.

Kerajaan Negeri kesal kerana keputusan menaikkan tol Lebuhraya KESAS dan SPRINT tidak dibincangkan dan tidak diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah KESAS Holdings Berhad dan KESAS Sdn Bhd serta Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn Bhd dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd.

Kerajaan Negeri melalui wakilnya telah pun meminta Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah dipanggil segera untuk menggunakan kuasa minoriti bagi menolak cadangan kenaikan kadar tol ini.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor meminta Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan perolehan hasil kutipan cukai GST bagi meneruskan pembiayaan pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya tanpa perlu menaikkan kadar tol.

# Mohamed Azmin Ali adalah Dato’ Menteri Besar Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published.